KASA laksana pelan jangka panjang atasi banjir di Melaka

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE & MOHD NAZRIN RAHIM

AYER KEROH:
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan melaksanakan pelan tindakan jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir di Melaka.

Setiauasaha Politik Menteri KASA, Dr Zuhdi Marzuki berkata, pelan tersebut termasuk pembinaan projek tebatan banjir bagi mengatasi masalah tersebut.

Manakala katanya tindakan jangka pendek termasuk membersih dan mendalamkan parit dan sungai.

- Advertisement -

“Usaha itu akan dilaksanakan agensi berkaitan, namun ia tidak dapat menyelesaikan masalah banjir secara menyeluruh berbanding penyelesaian jangka panjang,” katanya selepas melawat beberapa kawasan yang kerap dilanda banjir semalam.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek, Timbalan Pesuruhjaya Mohd Puhat Bedol, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri Kintan Man, Ketua Penerangan Hawa Yaakub dan Yang Dipertua PAS Hang Tuah Jaya, Ramli Dalip.

Kamarudin pula berharap KASA menyelesaikan segera masalah banjir yang kerap berlaku di negeri itu.

Menurutnya, usaha mengatasi masalah banjir melibatkan banyak agensi kerajaan yang memerlukan penyelarasan bersama.

“Kehadiran wakil menteri KASA diharap dapat menyelaraskan usaha mengatasi masalah banjir di Melaka dengan kerjasama agensi-agensi lain,” katanya.

Sementara itu Yang Dipertua PAS Alor Gajah Syahbudin Senin berkata, perhatian harus diberi terhadap pembangunan yang tidak terkawal dianggap antara faktor kerap berlaku banjir.

Menurutnya pembangunan yang tidak dirancang dengan teratur termasuk masalah perparitan boleh menyumbang berlaku banjir.

“Jadi semua pihak harus mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah banjir yang kerap berlaku sekarang,” ujar beliau.

Menurutnya sebelum ini kerap berlaku banjir di Durian Tunggal, namun sekarang keadaannya lebih teruk lagi.

Kata beliau antara kawasan terjejas termasuk Kampung Gangsa sebelum ini tidak banjir, namun sekarang apabila hujan air mudah melimpah. Begitu juga Taman Murai, Pekan Durian Tunggal. – HARAKAHDAILY 29/10/2021

- Advertisement -