Penghakiman yang adil itu sangat penting

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 16)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

SAIDINA Umar al-Khattab yang menjadi khalifah kedua pernah menulis kepada Abu Musa al-Asy’ari di mana Abu Musa dilantik menjadi gabenor di Kufah dan Basrah pada tahun ke 21H.

Surat ini mengandungi sekitar 20 baris muka surat kertas. Surat ini dianggap oleh para sarjana Islam sebagai dasar-dasar hukum, kesaksian, adab hakim dan mufti. Ada juga ulama mengatakan ia dipenuhi dengan adab-adab penghakiman. Ia dibuat kajian dan pencerahan oleh para ulama Islam, terutama dalam bidang siasah syariyyah, kehakiman dan pemerintahan Islam.

- Advertisement -

Di antara isi kandungan awal surat itu ialah Umar menyebut:

فإن القضاء فريضة محكمة و سنة متبعة

“Sesungguhnya penghakiman itu adalah kewajiban yang ditetapkan dan sunnah yang diikuti.”

Surat ini dimulakan dengan satu kenyataan tegas dari seorang pemerintah yang sangat sensitif dengan keadilan bahawa penghakiman terhadap sesuatu kes adalah perkara yang wajib dilaksanakan.

Pelaksanaannya pula tentulah berteraskan keadilan yang telah diajar dan ditunjuk oleh Nabi melalui sunnahnya yang berlangsung selama 23 tahun ketika hayat Baginda dan dirujuk juga kepada Al-Quran sebagai sumber wahyu terhadap semua aspek kehidupan.

Abu Musa al-Asy’ari adalah sahabat Nabi SAW. Tentunya beliau seorang yang adil, kerana kaedah menyebut:

الصحابي كلهم عدول

Para sahabat Nabi, semuanya adil.

Namun, Umar tetap menulis surat ini sebagai peringatan supaya menguruskan penghakiman kes-kes yang berlaku secara adil.

Kalau Umar yang adil menyuruh Abu Musa al-Asy’ari yang bersifat adil berlaku adil, maka bagaimana dengan kita? Tentunya peringatan itu lebih lagi dan perlu dinasihat berulang kali. – HARAKAHDAILY 28/10/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -