Kurikulum pendidikan perlu selaras ‘Keluarga Malaysia’

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

PASIR PUTEH:
Kurikulum pendidikan negara wajar digerak ke arah melahirkan warganegara yang mampu menghayati konsep ‘Keluarga Malaysia’.

Presiden NGO Prihatin Malaysia (PRIMAY) Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, Kementerian Pendidikan perlu membuat perubahan agak radikal supaya kehidupan rakyat tidak lagi berdepan dengan pelbagai kebejatan sosial.

Katanya, kementerian berkenaan dicadang membentuk jawatankuasa khas bagi menentukan hala tuju pendidikan negara bagi menggambarkan konsep Keluarga Malaysia.

- Advertisement -

“Biarpun sistem pendidikan negara sudah melalui banyak evolusi dan penambahbaikan, namun hasrat untuk melahirkan insan yang cemerlang akademik dan syaksiah belum meluas.

“Biarpun berjaya melahirkan profesional yang hebat, namun negara masih lagi berdepan masalah moral di mana kes-kes penyelewengan dan rasuah seperti tidak berkesudahan,” katanya di sini.

Beliau yang juga bekas pendidik berkata, falsafah pendidikan negara perlu mengarap teras Rukun Negara pertama iaitu Percaya Kepada Tuhan secara mendalam.

Katanya melalui kefahaman terhadap ajaran agama diyakini boleh memberi kesan mendalam kepada setiap individu.

Katanya, situasi itu dapat dilihat di mana sistem pendidikan agama berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang akademik dan mempunyai syaksiah yang tinggi.

Selain itu kata beliau Malaysia juga masih lagi berdepan dengan isu-isu perkauman kerana semangat rasisme masih berlaku.

“Situasi itu juga belum dapat mencerminkan semangat Keluarga Malaysia seperti dihasratkan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Oleh itu katanya Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perpaduan Negara perlu bekerjasama erat bagi membentuk acuan baharu berasaskan Keluarga Malaysia bermula di sekolah.

Menurutnya juga isu itu sudah lama berlarutan namun seperti belum ada kaedah yang mujarab bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Apa yang berlaku sekarang konsep Keluarga Malaysia nampak kejayaan aspek pertembungan politik kerajaan dan pembangkang, namun dalam kehidupan harian rakyat perlu diperkasakan lagi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/10/2021

- Advertisement -