Surat terbuka buat Abang Mat Sabu, kami tetap istiqamah

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

KELIHATAN sangat gigih Mat Sabu menyerang PAS sama ada semasa menggalang jawatan menteri 22 bulan atau pun selepas tersungkur daripada kerusi empuk Pak Menteri. Kali ini ucapan dan rayuan beliau terhadap anak muda agar menghapuskan PAS yang digelar sebagai parti pak lebai. Dalam rayuannya juga meminta anak muda untuk turun ke jalan raya untuk melakukan perubahan politik. PAS bagi Mat Sabu telah meninggalkan prinsip perjuangan Islam, tidak lagi “Rahmatan lil alamin”. PAS diam tak berkutik dalam isu yang mengancam Islam dan sanggup bersekongkol dengan perasuah demi menggenggam kuasa. Oh, elok juga Abang Mat kencing dalam tempurung dan bercermin menilik guratan wajah sendiri!

Aku perhatikan Abang Mat dalam usia hampir mencecah tujuh siri sangat galak memprovokasi pimpinan PAS di dalam Parlimen. Terserlah kemampuannya sebagai pembangkang sejati, namun sebagaimana biasa akan terpamer sikap tidak mesra buku dan budaya ilmu. Maaf Abang Mat, inilah kritikan ilmuan dalam jamaah Islam semenjak Abang Mat menjadi anggota legislatif. Pemimpin adalah pembaca, kami tak mengharapkan Abang Mat menulis 100 buah buku seperti Presiden PAS, memadai jika Abang Mat rajin membaca. Kelompok kelas menengah Melayu semakin membesar dan inilah alasan mengapa PAN bukanlah pilihan mereka. Terpencar lagi beberapa elemen pembangkang seperti parti Bahtera Sejahtera oleh tim IKRAM, Parti Pejuang, Parti Kuasa Rakyat dan lain-lain.

Advertisement

“Saya ingin bertanya kepada Menteri Agama…adakah Menteri Agama akan menjadikan bidang tugasnya untuk turut menjaga agama- agama lain seperti Menteri Agama di Indonesia?” tanya bang Mat di dalam Parlimen.

“Saya akan menjaga hanya agama Islam, kerana saya juga unserable kepada Majlis Raja-Raja Melayu,” tukas Menteri Agama. Pastinya dengan senyum sumbing di dalam penutup muka.

Aku terus menjadi kepelikan apabila meneliti ucapan-ucapan Abang Mat di alam siber, seolah bekas pimpinan PAS ini tidak pernah mengenali harakatul ummah ini. Ironisnya, beliau membandingkan kualiti petugas, bahan kempen serta pimpinan PAS hari ini dengan suasana dekad 80-an. Dengan sejuta ahli dan dua juta penyokong PAS, apa peliknya untuk PAS bertanding di 158 kerusi Parlimen. Ahli PAS bukan sekadar rakyat jembel di desa-desa, namun majoritinya adalah kelompok kelas menengah Melayu, begitu juga dengan kualiti kepimpinan PAS. Abang Mat bernasib baik menjadi pimpinan PAS semasa PAS diminati oleh rakyat jembel di kawasan perdesaan, tiada ahli menganalisa ucapan Abang Mad. Segalanya telah berubah dengan pantas!

Masa bergulir pantas, lagi pantai boleh berubah, begitu juga sikap Abang Mat. Masa aku muda, Abang Mat yang memperkenalkan kami anak muda tentang kebobrokan rejim Mahathir dan BN. Di lidah Abang Mat terhafal fasih siapa Vincent Tan, Ananda Krishnan, YTL, Robert Kuok dan puluhan nama taikun-taikun ekonomi negara. Mulut Abang Mat lancar menyebut bahawa Mahathir bapa pelingkup negara yang menyuburkan KKN serta menggunakan pelbagai akta drakonian untuk menyekat kebangkitan rakyat dan usaha memartabatkan syariah.

Abang Mat alumni ITM, memulakan langkah bersama gerakan pelajar, seterusnya bersama gerakan sosiopolitik anak muda, ABIM. Awal dekad 80-an, beliau aktif berceramah dan vokal menentang rejim Mahathir sehingga membayar harga yang mahal iaitu dihumban ke jeriji tahanan politik ISA sebanyak dua kali. Antara rakannya Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Abdul Latif Mohamad ditahan tanpa bicara. Beliau berceramah saat manusia ramai masih paranoid dengan PAS dengan tema kembali kepada pemerintahan Islam, menjulang kepimpinan ulama serta mendobrak rejim tirani BN.

PAS telah meletakkan Abang Mat sebagai calon Parlimen Nilam Puri pada tahun 1990, ahli-ahli PAS bekerja keras bagi memastikan kemenangan beliau. Jangan lupa, banyak mana tabung buluh dan tin milo ahli-ahli PAS dipecahkan untuk membiayai kempen Abang Mat. Abang Mat tak perlu bergadai tanah untuk menduduki posisi anggota legislatif. Lebai-lebai PAS yang dikutuk Abang Mat itulah yang mendoakan kemenangan Abang Mat siang dan malam.

Dua penggal Abang Mat berada di dalam Parlimen dengan ehsan orang Kelantan yang saat itu disakiti oleh rejim Mahathir. Kelantan dikucilkan oleh Mahathir, dihina dan disekat bantuan termasuk menodai konsep federalisme, Kelantan seolah-olah berada di Zimbabwe.

Sebelum keluar daripada PAS terutama dalam dekad 80-an dan 90-an, Abang Mat sentiasa mendengungkan kewajiban memenangkan Islam, memuliakan ulama dan terus istiqamahkan diri bersama PAS di posisi mana pun kita berada sehingga dipesan kepada ahli-ahli PAS supaya jangan mengikuti jejak langkahnya jika beliau telah keluar daripada jemaah. Konsisten Abang Mat mengingatkan anak muda agar bangkit mempertahankan Islam, namun kini segalanya berubah. Teringat aku pra PRU14 dahulu, perjuangan sempit Abang Mat hanya sekadar untuk meruntuhkan rejim Najib dan menggantikan dengan tokoh kleptokrasi yang sarat dengan bebanan sejarah sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri. Sejujurnya, pujian-pujian Abang Mat pada Mahathir terasa sangat memualkan dan menambahkan lagi rasa pelik kami pada Abang Mat. Jangan Abang Mat beritahu kami, Mahathir telah bertaubat dan suci daripada noda silamnya.

Obsesi Abang Mat dan kawan-kawan Abang Mat dalam PH terhadap kuasa dan Putrajaya sangat luar biasa! Tiada istilah menjaga prinsip amal Islami, janji dapat memeluk mimpi menawan Putrajaya. Terlalu sibuk Abang Mat dan Mahfuz bertanyakan di mana PAS memperolehi wang untuk membiayai kempen PRU. Singkat benar ingatan Abang Mat dan teman-teman yang meninggalkan PAS akibat tewas dalam pemilihan Muktamar PAS Tahunan PAS ke 61 dahulu. Cuba Abang Mat bertanyakan kembali Salahudin Ayub akan kisah penoreh getah yang mengasingkan pendapatan keluarga dan infak untuk PAS setiap hari demi melihat kelangsungan perjuangan PAS.

Dr Riduan Mohamad Nor


Sejujurnya kami tak berminat untuk berbalah, memandangkan intrik dan polemik kerana kami sangat sibuk membina organisasi. Kami tak biarkan cawangan kami mati atau ahli kami tanpa pengisian rohani. Penting juga kami dapat mematikan khurafat bekas pimpinan PAS yang sentiasa meratib sebelum PRU14, “tanpa DAP, kita tak akan ke Putrajaya”. Kudus buat semua amilin yang istiqamah berjuang! – HARAKAHDAILY 9/10/2021

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.