Hubungan saya dengan empat ADUN baik – Sulaiman

- Advertisement -

ALOR GAJAH: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyifatkan hubungannya dengan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang mengumumkan keputuan menarik sokongan terhadap kepimpinannya, adalah baik.

Beliau berkata malah dalam setiap mesyuarat exco, apa yang diperlukan ADUN berkenaan sentiasa diberi perhatian.

- Advertisement -

Beliau mengakui bahawa semua mereka telah bekerja keras dalam usaha memulihkan ekonomi negeri dan menangani isu pandemik Covid-19 ketika ini, namun susulan pergolakan politik negeri, keadaan kini memang nampak sukar.

“Mereka (ADUN yang menarik sokongan) juga membuat kerja yang sama, tapi akhirnya mereka meruntuhkan, pada saat kita baharu balik pada Fasa Tiga (Pelan Pemulihan Negara),” katanya pada sidang media di kediaman pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Masjid Tanah di sini hari ini.

Sulaiman berkata beliau menyerahkan kepada kepada Ab Rauf untuk menentukan hala tuju politik Melaka berikutan pengumuman empat ADUN itu.

Empat ADUN berkenaan yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) hari ini mengumumkan mereka hilang kepercayaan, sekali gus menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman Md Ali, dan perkembangan ini secara teknikal menyaksikan kerajaan Melaka tumbang. – BERNAMA

- Advertisement -