Tabayyun: Rakyat digesa jauhi ajaran sesat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir menyokong penuh tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah mengadakan Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) Masitah Abdul Jalar, pengasas ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

Beliau berkata, tindakan tersebut tidak bermakna JAIS membuka aib individu tersebut malah ia mampu menarik pengikut PMYT agar kembali ke jalan benar.

- Advertisement -

Ini, katanya sekali gus mendidik masyarakat awam khususnya umat Islam agar berhati-hati dengan sebarang ajaran yang diterima.

Menurutnya, tidak dinafikan pelbagai langkah dan usaha telah diusahakan oleh kerajaan bagi mengekang penyebaran ajaran sesat.

Tambah beliau, antaranya dengan melalui peruntukan undang-undang seperti mana terdapat beberapa seksyen berkaitan kesalahan berhubung dengan akidah di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 seperti pemujaan salah, doktrin palsu, mengembangkan doktrin agama dan dakwaan palsu.

“Walau bagaimanapun, penyebaran ajaran sesat tidak dapat dikekang jika setiap individu Muslim tidak berwaspada dan tidak berusaha untuk meningkatkan pengetahuan agama menerusi cara yang betul,” ujarnya dalam satu kenyatan, hari ini.

Oleh itu, beliau menggesa umat Islam agar sentiasa berhati-hati dan mengamalkan prinsip tabayyun sebelum menyebarkan, menerima, mahupun berkongsi satu-satu berita.

Katanya lagi, ini sekali gus mampu menghalang daripada tersebarnya ajaran sesat yang jelas sekali merosakkan akidah seseorang.

Beliau berkata, ia sebagaimana firman Allah Taala dalam Surah Al-Hujurat, ayat enam yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

Pada 29 September lalu, Masitah Ab Jalar yang membuat pengisytiharan taubatnya (Istitabah) meminta pengikutnya untuk sama-sama bertaubat serta kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Pada majlis berkenaan, Masitah, 39, juga dikenali sebagai Sittah An Nur ketika mengumumkan pengisytiharan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkata pengakuan taubat itu dibuat dengan rela hati dan tanpa paksaan mana-mana pihak.

“Saya bertaubat kembali ke pangkal jalan dan akan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan sumber pengetahuan dan ilmu yang benar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/9/2021

- Advertisement -