Keselamatan makanan di era COVID-19: Cabaran dan Prioriti

Photo used for illustration purposes only.
- Advertisement -

Oleh Dr Mohammad Fazrul bin Mohammad Basir dan Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain

Keselamatan makanan adalah isu yang penting dan perlu diberi perhatian oleh setiap industri makanan di Malaysia dan juga seantero dunia. Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (Food and Agriculture Organization – FAO) menyatakan skop keselamatan makanan bukan sekadar memastikan proses pengendalian, penyimpanan dan penyediaan makanan bebas dari sebarang bahaya kepada manusia, tetapi turut memastikan kandungan nutrien yang tinggi selaras dengan pemakanan sihat. Hakikatnya, pencemaran makanan dapat berlaku di setiap peringkat dalam rantaian penyediaan makanan, bermula dari ladang hingga ke dalam pinggan, samada di rumah mahupun di kedai makan.

- Advertisement -

Kawalan dan pemantauan terhadap keselamatan makanan di Malaysia telah lama bertapak dengan kewujudan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia. Namun, kehadiran pandemik COVID-19 di penghujung 2019 sehingga kini masih menjadi krisis kesihatan yang merencat kegiatan ekonomi, pembangunan, dan sosial masyarakat di semua sektor. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah berjalan di Malaysia sebagai langkah kawalan bagi menangani peningkatan kes COVID-19 telah menjadi cabaran utama kepada prosedur kawalan keselamatan makanan. Cabaran yang dimaksudkan adalah berkaitan dengan pengurangan aktiviti penguatkuasaan, pemeriksaan premis makanan yang terhad, mobilisasi pegawai penguatkuasa serta keterbatasan aktiviti promosi secara fizikal yang sebahagian besar dihadkan di bawah peraturan Perintah Kawalan Pergerakan.

Prosedur pemeriksaan premis makanan adalah tertakluk di bawah Akta Makanan 1963 yang memberi kuasa kepada pegawai iaitu Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) untuk memasuki premis makanan bagi menilai dan memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan kepada pengguna. Bukan sekadar pergerakan pegawai yang terbatas lantaran PKP, keutamaan mereka di era pandemik COVID-19 telah banyak dimobilisi bagi membantu menangani peningkatan mendadak kes COVID-19 di lapangan.

Ini kerana skop tugas mereka juga tertakluk kepada akta lain berkaitan kesihatan awam antaranya adalah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Maka, banyak premis makanan yang tidak dapat dilakukan pemeriksaan kebersihan dan juga akan terhad dari sudut pemantauan amalan kebersihan pengendali makanan. Pengambilan sampel makanan untuk pemeriksaan makmal bagi menilai tahap kebersihan dan keselamatan makanan tersebut juga turut terbantut dan berkurangan.

Memandangkan sektor makanan merupakan salah satu sektor perlu (essential service) semasa PKP ini yang setanding dengan sektor kesihatan, keselamatan dan peruncitan, maka aktiviti penghasilan dan penjualan makanan akan terus berjalan. Maka, tidak hairan andainya situasi ini menjadi peluang keemasan bagi industri makanan memasarkan produk makanan tanpa menitik berat kepada kualiti dan keselamatan makanan tersebut.

Tambahan lagi, peningkatan jualan makanan secara atas talian sepanjang pandemik ini lagi menyukarkan pihak penguatkuasa melakukan pemantauan. Cabaran seterusnya dalam memastikan keselamatan makanan ketika era pandemik COVID-19 adalah ketidaktentuan maklumat berkenaan keselamatan makanan. Persoalan ini sering timbul dalam masyarakat umum berkenaan potensi makanan sebagai sumber penularan virus SARS-CoV-2. Selain itu, persoalan dan pertanyaan ini juga timbul daripada pelbagai pihak lain terutama pengguna dan industri makanan.

Atas apa alasan sekalipun, faktor keselamatan makanan tidak boleh menjadi taruhan. Promosi keselamatan dan kualiti makanan harus dipertingkatkan melalui pelbagai media sosial. Sasaran maklumat ini akan lebih mudah diterima oleh golongan muda yang celik teknologi, dan hakikatnya golongan inilah yang banyak menggunakan khidmat pesanan secara atas talian. Pendidikan terhadap keselamatan makanan yang dibeli secara atas talian ini amat penting agar peristiwa keracunan makanan yang melibatkan kematian akibat dari puding buih pada tahun 2020 tidak akan berulang.

Bagi menangani sebaran maklumat yang kurang tepat, Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan yang lain dilihat telah mengembeleng usaha dan tenaga untuk terus berinteraksi dengan masyarakat melalui pelbagai cara antaranya media massa, media sosial dan talian bantuan. Kuwujudan laman sesawang khas bagi COVID-19 dan laman sesawang sehenti bagi semua media promosi keselamatan makanan dilihat mampu mengurangkan kegusaran masyarakat dalam isu keselamatan makanan.

Berdasarkan kajian terbaru yang dijalankan di Amerika pada tahun ini yang melibatkan lebih 3500 responden secara atas talian, sebahagian besar responden menyatakan sumber maklumat berkaitan keselamatan makanan dari pihak berkuasa lebih dipercayai dan diyakini. Maka, pihak berkaitan keselamatan makanan terutamatanya KKM perlu melipat ganda usaha dan menyalurkan maklumat kepada masyarakat awam. Dalam masa yang sama, setiap masyarakat yang menjadi pengguna kepada media baru ini haruslah menyaring sebaik mungkin semua maklumat yang diperolehi, memastikan kesahihan maklumat, dan bijak memilih sumber maklumat yang dirujuk.

Perasaan gelisah dan khuatir berkaitan risiko penularan COVID-19 melalui makanan tidak wajar dipandang remeh. Langkah yang lebih berhati-hati dan komprehensif dalam memantau keselamatan makanan di sepanjang rantaian proses menghasilkan produk makanan perlu ditingkatkan. Walaupun belum ada bukti yang kukuh berkaitan penyebaran virus SARS-CoV-2 melalui produk makanan, tetapi bukti saintifik secara jelas menyatakan bahawa virus ini boleh ditular melalui pencemaran makanan. Justeru itu, satu penelitian ilmiah yang dilaporkan di dalam jurnal berwasit menekankan kepada perlunya penyelidikan mendalam bagi mencari kaedah terbaik dan mudah untuk mengesan virus ini dalam produk makanan.

Laporan ini juga menggesa pihak berkuasa untuk melakukan pemantauan yang lebih serius terhadap industri makanan bagi meningkatkan tahap kebersihan makanan dan mengurangkan tempoh pendedahan kepada pekerja. Isu ini dilihat amat penting bila mengambil kira agenda negara yang akan beralih dari fasa pandemik ke fasa endemic dalam masa terdekat. Bila memasuki fasa endemik, pemantauan data yang berterusan dari pelbagai sumber dan kewujudan sistem amaran awal perlu dilihat sebagai satu keutamaan bagi membantu mencegah wabak COVID-19 dengan cepat dan efektif.

Mutakhir ini, restoran telah dibenarkan beroperasi dan menjual makanan termasuklah secara dine-in. Pasar pagi, pasar tani dan kedai yang menjual barangan mentah dan peruncitan turut dibuka bagi memacu ekonomi negara. Maka, semestinya setiap pengguna dan pembeli perlu sentiasa berhati-hati dalam memilih makanan, barangan mentah dan kedai yang akan dikunjungi.

Bukan sekadar melihat kepada amalan SOP bagi mengelak berlakunya jangkitan COVID-19, tetapi kebersihan makanan dan premis perlu dititik berat. Sebagai contoh, jika pengguna ingin dine-in di restoran, maka lakukan penilaian kendiri sebaik mungkin seperti menilai tahap kebersihan restoran tersebut, perhatikan amalan kebersihan pengendali makanan, lihat suasana persekitran agar jauh dari pencemaran dan tiada kehadiran lalat dan sebagainya.

Secara kesimpulananya, Pandemik COVID-19 belum nampak akan berakhir dalam masa terdekat. Dengan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pihak berkuasa dan bertanggungjawab, maka semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan makanan di pasaran adalah selamat. Sudah pasti, tanggungjawab terpenting adalah di bahu pengguna. Buatlah pilihan yang bijak berdasarkan ilmu yang tepat yang diperolehi dari sumber yang sahih.

Dr. Mohammad Fazrul bin Mohammad Basir (MD, MPH)
Sarjana Kesihatan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM)

Prof Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain (MD, MCM, PhD)
Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM)

- Advertisement -