Pakej Penjagaan Covid-19 ringan beban penduduk miskin

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Program kebajikan rakyat yang dirintis Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin kini diteruskan kepimpinan kerajaan sekarang.

Kerajaan PN sebelum ini melaksanakan lapan pakej rangsangan ekonomi yang bermula Pakej Prihatin pada Mac 2020. Kerajaan membelanjakan RM530 bilion pakej rangsangan ekonomi tersebut.

- Advertisement -

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob melaksanakan pula Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) kepada keluarga bagi kategori B40.

Langkah kerajaan tersebut disambut baik orang ramai terutamanya bagi meringankan beban kehidupan selepas negara memasuki era endemik Covid-19.

Mohd Fadly Zakaria

Seorang penduduk, Mohd Fadly Zakaria, 47, berkata, agihan bantuan pek pelitup muka guna semula dan kit ujian kendiri Covid-19 dapat membantu keluarga miskin menghadapi pandemik.

“Semua orang maklum ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, kebanyakan rakyat terutamanya kategori B40 kehilangan pendapatan.

“Jadi pengumuman yang dibuat perdana menteri baru-baru ini merupakan langkah yang baik kerana mampu membantu rakyat setelah dua tahun berhadapan Covid-19,” katanya ketika ditemui di sini.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan peruntukan RM471.6 juta bagi pemberian Pakej Penjagaan Covid-19 (PPC) kepada keluarga di bawah kategori B40 bagi memastikan rakyat bebas daripada jangkitan Covid-19.

Menurut perdana menteri, bantuan itu bertujuan meringan beban kewangan perbelanjaan isi rumah B40 dan pembudayaan normal baharu.

Bantuan PPC mengandungi pek pelitup muka guna semula, kit ujian kendiri Covid-19, satu pulse oximeter, termometer serta risalah panduan penggunaan dan info kesihatan.

Saharafi Muhammad

Seorang lagi penduduk, Saharafi Muhammad, 49, pula mengakui keluarganya terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kehilangan sumber rezeki.

Oleh itu katanya, bantuan ujian kit kendiri Covid-19 kepada penduduk miskin termasuk di kawasan pedalaman amat dialu-alukan.

“Cara penggunaan kemudahan itu kalau boleh diperjelaskan kepada komuniti. Bantuan yang disalurkan kerajaan memberi banyak manfaat kepada rakyat.

“Kita menyambut baik pengumuman perdana menteri kerana tidak semua rakyat ada kemampuan untuk membeli semua kelengkapan tersebut selepas berhadapan dengan zaman Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -