2 minggu lagi Kelantan capai dos kedua 77 peratus

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menubuhkan jawatankuasa kempen vaksin bagi merancakkan lagi Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK).

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin bagaimanapun berkata, segelintir rakyat di negeri itu masih mempertikaikan pemberian vaksin, walaupun sudah lengkap dua dos namun jangkitan tetap berlaku.

Katanya persepsi rakyat berubah biar pun sudah menerima dua dos suntikan, sehingga ada yang beranggapan bebas sepenuhnya untuk tidak mengikuti SOP ditetapkan kerajaan.

“Mereka kata buat apa vaksin, kena suntik vaksin pun jangkitan tetap kena juga dan kalau kena suntikan vaksin pun kena jangkitan bagi kategori satu dan dua sahaja, biarnya kena pun tidak mengapa.

“Jadi auta tu ada sokmo.. kempen dahulu sudah ada tetapi kita hendak bagi kempen vaksin, macam mana nak rakyat ikut SOP, sudah lengkap suntikan pun risiko pembawa virus tetap ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Mabna MBI Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Dr Izani juga berkta, kerajaan negeri melaksanakan kempen suntikan vaksin melalui program outreach vaksinasi di peringkat daerah di kawasan titik panas jangkitan bermula Jun lalu.

Menurutnya juga Jabatan Kesihatan Negeri sekarang mengambil langkah agresif turun ke kampung-kampung untuk melaksanakan vaksinasi.

Beliau berkata usaha itu dilakukan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat menerima suntikan tersebut, bagi memastikan hasrat Kelantan mendapat imuniti kelompok pertengahan Oktober ini tercapai.

Kata beliau, sebanyak 951,200 penduduk usia 18 tahun ke atas menerima dos pertama dan dalam tempoh dua minggu akan datang sekarang-kurangnya 77 peratus rakyat Kelantan menerima suntikan penuh.

“Dos kedua maknanya dalam tempoh dua minggu lagi kita capai 77 peratus menerima vaksin, selain itu kita juga masuk ke kampung-kampung untuk lakukan suntikan.

“Selain Pusat Pemberian Vaksin kini dibuka secara walk-in, namun masih wujud lagi sebahagian rakyat yang menolak vaksin jadi kes harian kita masih lagi tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/9/2021

- Advertisement -