Masjid tempat perlindungan mangsa keganasan rumahtangga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kolaborasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) menjadikan masjid sebagai tempat perlindungan sementara mangsa keganasan rumahtangga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, projek rintis itu akan diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al-Ghufran, Pinggiran Taman Tun Dr Ismail.

- Advertisement -

Selain itu, beberapa masjid di Wilayah Persekutuan turut melaksanakan inisiatif secara proaktif bagi menyediakan khidmat kaunseling kepada mangsa keganasan rumahtangga.

“Memperkasa masjid sebagai pusat transit dan aktiviti psikososial bagi kesejahteraan wanita atau ibu tunggal,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya hari ini.

Program kolaborasi itu hasil perbincangannya dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato’ Seri Rina Mohd Harun yang melibatkan isu-isu institusi keluarga.

Menurutnya juga perbincangan tersebut turut menyentuh isu berkaitan remaja, ibu tunggal dan beberapa kumpulan khusus yang memerlukan perhatian kerajaan.

Kata beliau juga dalam tempoh empat bulan tahun ini dilaporkan sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga.

“Inilah realiti yang berlaku dalam institusi keluarga di negara kita, antara punca utama keganasan rumah tangga era pandemik Covid-19.

“Kami juga bersetuju supaya penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang juga penerima zakat perlu dibantu dan dibangunkan supaya suatu hari nanti mereka akan menjadi pembayar zakat,” ujarnya.

Idris juga berkata, beberapa cadangan baharu projek kolaborasi tersebut termasuk menambah baik khidmat kaunseling perkahwinan dan kekeluargaan pasangan yang menghadapi konflik rumahtangga.

Oleh itu beliau mengalu-alukan kerjasama agensi-agensi Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan KPWKM untuk mengatasi isu-isu rakyat yang memerlukan perlindungan dan pembelaan.

“Saya berharap segala kerjasama yang sedia ada akan sentiasa ditambahbaik,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 21/9/2021

- Advertisement -