Sunnah baca al-Quran ketika dalam kenderaan

- Advertisement -

BIASANYA bila bermusafir atau naik kenderaan berjalan jauh, kita akan mendengar radio sebagai halwa telinga. Tapi tahukah anda, selain mendengar muzik, kita boleh habiskan masa dengan membaca al-Quran? Abdullah bin Mughaffal R.A meriwayatkan:

- Advertisement -

‎رَأَيْتُ رَسولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَومَ الفَتْحِ علَى نَاقَةٍ له يَقْرَأُ سُورَةَ الفَتْحِ – أوْ مِن سُورَةِ الفَتْحِ – قالَ: فَرَجَّعَ فِيهَا

 “Aku melihat Rasulullah S.A.W membaca Surah al-Fath atau sebahagian surah itu pada hari pembukaan Kota Makkah sambil menunggang unta miliknya.” Beliau mengatakan; “Maka Baginda mengulang-ulang bacaan dari surah itu.”

(Sahih al-Bukhari, no.7540)

Dalam lafaz Imam Muslim disebutkan:

‎قَرَأَ النبيُّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ عَامَ الفَتْحِ في مَسِيرٍ له سُورَةَ الفَتْحِ علَى رَاحِلَتِهِ، فَرَجَّعَ في قِرَاءَتِهِ

 “Nabi S.A.W membaca Surah al-Fath dalam perjalanan musafirnya pada tahun pembukaan Kota Makkah sambil berada di atas unta tunggangannya. Lalu Baginda mengulang-ulang bacaan Baginda.”

(Sahih Muslim, no.794)

Selain perbuatan Nabi S.A.W dalam Hadis di atas, terdapat banyak lagi riwayat yang menceritakan bahawa para Sahabat juga selalu membaca al-Quran sambil menunggang binatang kenderaan. Ini menunjukkan bahawa membaca al-Quran adalah satu kebiasaan bagi mereka. Malah, tidak salah juga kalau kita mengatakan ianya merupakan hiburan bagi mereka. 

Alangkah baiknya jika kita biasakan membaca al-Quran sambil menunggang motosikal atau menaiki kereta. Mulakan dengan surah-surah yang pendek dan mudah. Kalau tak mampu, kita boleh juga dengar bacaan al-Quran melalui alat-alat peranti yang canggih pada zaman ini. Sambil-sambil itu, kita boleh ikut sekali. Bukan sahaja membaca, secara tak langsung kita dapat menghafal sekali. Jom, manfaatkan teknologi untuk mengamalkan sunnah!

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 10/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/446352142470360/posts/1255025124936387/

- Advertisement -