KBS turut bantu ‘Keluarga Malaysia’ di Yan

- Advertisement -

YAN: Penduduk yang terbabit dengan tragedi kepala air Gunung Jerai pada 18 Ogos lepas turut mendapat simpati Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS turun padang membantu mangsa-mangsa banjir di Yan melibatkan kerja-kerja pembersihan, sumbangan barangan keperluan asas dan sebagainya.

Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya amat bersimpati terhadap tragedi yang menimpa penduduk di Yan baru-baru ini.

- Advertisement -

“Bencana alam yang menimpa bukan sahaja menguji mereka, malah menguji kita semua agar cakna dan terus berganding bahu untuk membantu sesama rakyat dalam Keluarga Malaysia,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Pada tragedi petang 18 Ogos lepas rempuhan kepala air dari Gunung Jerai menjejaskan kira-kira 2,000 premis yang terdapat di sekeliling gunung tersebut yang meliputi daerah Yan dan Kuala Muda.

Selain itu mengorbankan enam mangsa kebanyakan pekerja resort yang terdapat di Gunung Jerai. Sebanyak 13 daripada 23 pusat resort dan pusat penginapan di lokasi itu terkesan teruk.

Kesan limpahan air dari gunung juga menyebabkan anak sungai bertukar haluan baharu.

Ahmad Faizal juga berkata, KBS turun padang membantu penduduk di Yan sebagai menggambarkan belia dan aktiviti kebajikan berpisah tiada. – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -