Kerjasama politik keluarga Malaysia

- Advertisement -

TELAH hampir 20 hari berlalu sejak Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 di hadapan Yang di-Pertuan Agong. Sejak dari hari itu suhu politik dalam negara semakin menurun dan malah hampir segalanya dilihat stabil dan tenteram dengan tumpuan diberikan kepada proses pemulihan negara dalam menghadapi bahana pandemik COVID-19. Ini bertepatan dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar diredakan suhu politik dalam negara.

Perdana Menteri baru telah pun memanggil ketua-ketua blok pembangkang dari Pakatan Harapan ke Pejabatnya untuk berbincang berkenaan agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan terbaik bagi menangani krisis pandemik COVID-19. Dalam pertemuan itu menurut Perdana Menteri kepentingan kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia telah dipersetujui.

- Advertisement -

Kini tiada lagi cakap-cakap dan gerakan politik melibatkan pertukaran kerajaan atau lantikkan Perdana Menteri baru. Malah pihak yang sering menjolok-jolok isu ini pun kelihatan membisu seakan mengakui bahawa rakyat sudah berpuas hati dengan apa yang ada dan tidak berminat lagi untuk melihat permainan politik yang keterlaluan di saat mereka menanggung derita.

Seterusnya Perdana Menteri telah pun selamat mengumumkan barisan Kabinetnya, dan terbaru mengumumkan pula mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Bermakna telah sempurnalah Perdana Menteri ke-9 meletakkan batu asas bagi membina kerajaan baru ke arah membela dan memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat dan negara. Beliau sepatutnya diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menjelmakan imej dan gaya kepimpinannya demi mengemudi negara dengan sokongan dan dukungan rakyat. Jangan lagi ada mana-mana pihak yang mencabar atau membikin onar sehingga terganggu perjalanan kerajaan yang akibatnya tidak langsung membawa manfaat malah merugikan rakyat dan negara.

Dato Sri Ismail adalah Naib Presiden Umno, dan kerajaan beliau diwakili parti-parti Barisan Nasional, BERSATU, PAS, GPS dan lain-lain parti kecil dari Borneo termasuklah wakil-wakil Bebas. Suka tidak suka selaku ketua kerajaan selain memberi tumpuan kepada program pemulihan negara dan mengangkat ekonomi negara agar kembali berdaya saing sebagaimana sebelumnya, beliau juga perlu memikirkan formula terbaik untuk memastikan kerajaan ini kekal memerintah melangkaui Pilihan Raya Umum ke-15.

Survival politik parti pemerintah ‘Keluarga Malaysia’ yang diwakili pelbagai parti itu perlu difikirkan dan diusahakan oleh beliau secara serius kerana kegagalan melahirkan satu permuafakatan politik bagi menghadapi PRU ke-15 nanti akan hanya membawa keuntungan buat Pakatan Harapan yang sekian lama melukut di tepi gantang.

Kiranya kerajaan beliau berjaya mencapai tahap imuniti kelompok atau ‘herd immunity’ dalam berhadapan dengan pandemik ini sebagaimana dirancangkan dalam suku keempat tahun ini, bermakna kehidupan rakyat akan kembali berubah manakala ekonomi negara dijangka bergerak ke arah pemulihan. Tatkala iaitu kerajaan akan cukup disenangi rakyat dan populariti Perdana Menteri akan melonjak.

Dalam situasi tersebut kiranya permuafakatan politik tidak berjaya dibentuk dengan sempurna, manfaat politik akibat lonjakkan tadi tidak dapat digunakan sebaiknya lalu survival politik kerajaan ini terumbang-ambing.

Justeru Dato’ Sri Ismail perlu diberikan keyakinan dan tanggungjawab untuk menyusun dan melahirkan formula permuafakatan baru buat parti-parti yang bernaung di bawah kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ ini agar satu persepakatan dan persefahaman dapat dicapai yang paling penting kita hadapi PRU ke-15 nanti satu lawan satu dengan blok pembangkang yang didominasi PH. Jajaran politik baru perlu dibina, kita tidak boleh lagi mengharapkan jajaran lama yang sudah lapuk atau tidak lagi konsisten dengan perkembangan politik semasa dan tuntutan serta kemahuan rakyat. 

Hari ini Perdana Menteri adalah Dato’ Sri Ismail Sabri. Jika kekal berterusan dan kukuh kerajaan ini bermakna rakyat sudah berpuas hati dan redha dengan apa yang ada. Jangan lagi mengecewakan mereka. Rakyat mahu kerajaan ini kekal, ini bermakna strukturnya perlu dikekalkan dengan membina satu jajaran politik yang inklusif yang memuatkan kesemua parti-parti yang hari ini duduk di bawah kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ ini.

Membinanya bukanlah suatu tugas yang mudah malah mungkin lebih rumit dari berperang menghadapi pandemik ini, namun ianya perlu diusahakan demi survival dan masa depan politik yang terjamin buat semua.

Yang putus kita sambung, yang kurang kita tampung, tiada kusut yang tidak dapat dileraikan, tiada luka yang tidak dapat disembuhkan, pokok pangkalnya adalah kematangan dan kebijaksanaan kita. Kerajaan ini terbina atas keinsafan bahawa kuasa politik Melayu Islam perlu disatukan demi mengelakkan kerajaan jatuh ke tangan yang lain. Rakyat telah merasai kepahitan 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan yang didominasi DAP. Sesungguhnya tiada parti dalam kerajaan hari ini sama ada Umno, PAS mahupun BERSATU atau GPS yang mahu melihat PH apatah lagi DAP kembali berkuasa.

Lantaran itu sebagaimana keyakinan dan kepercayaan kita berikan kepada Dato Sri Ismail untuk mengemudi bahtera besar kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ ini, maka parti-parti politik yang bernaung di bawahnya perlu turut memberikan keyakinan dan kepercayaan yang sama pada beliau untuk membentuk satu jajaran politik baru bagi menghadapi PRU ke-15 nanti. Kita tidak mahu menang sorak kampung tergadai.

Kita malah bertanggungjawab untuk menyelamatkan rakyat di Negeri Selangor dan Negeri Sembilan agar turut dapat dikuasai kembali oleh kita, tidak lagi berpayung di bawah ketempangan PH. Saya yakin rakyat mengharapkan Dato Sri Ismail bersama parti-parti yang menaungi kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ ini akan dapat membentuk satu kerjasama politik yang kukuh dan menjadi pilihan utama mereka apabila berhadapan dengan PH yang lapar kuasa itu.

Kita diyakini akan dapat merasai perubahan besar dalam waktu terdekat. Setakat 5 September 2021 lebih 67.4 peratus rakyat Malaysia telah sempurna menerima dos vaksin masing-masing dengan kadar suntikan harian melebihi 300,00 penerima sehari. Sebagimana insya-Allah berjaya kita nanti menguruskan pandemik ini dengan kaedah terbaik, rata-rata rakyat Malaysia yang prihatin khasnya umat Melayu Islam turut mengharapkan agar parti-parti politik pro kerajaan hari ini juga akan membawa sesuatu yang meyakinkan buat rakyat di bawah teraju Perdana Menteri ke-9.

Kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ yang inklusif dan diterima ramai ini bukannya ekstrem sebagaimana ‘Malaysian Malaysia’ yang cuba dijaja DAP oleh itu berwaspadalah sebagaimana Ibnu Hajar pernah berkata:

“Seorang Muslim harus terus waspada, jangan sampai lalai, baik dalam urusan agama mahupun urusan dunianya.”

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 8/9/2021

- Advertisement -