Amal kuarantin kendiri terlibat aktiviti berisiko

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Setiap individu harus jujur melaksanakan tanggungjawab dengan mengamalkan kuarantin kendiri di rumah sekiranya terlibat dengan aktiviti berisiko termasuk merentas negeri.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah seluruh anggota masyarakat perlu mematuhi arahan kuarantin yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan bagi individu yang disyaki, kontak rapat atau kes positif Covid-19 kategori rendah.

- Advertisement -

“Individu terbabit perlu untuk kekal tinggal di rumah melainkan bagi mendapatkan rawatan perubatan kecemasan.

“Penjagaan khusus terhadap ahli keluarga dalam kalangan warga emas dan individu berpenyakit kronik hendaklah diberi keutamaan kerana mereka amat berisiko mendapat komplikasi lebih teruk sekiranya dijangkiti Covid-19,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs) bersama agensi-agensi di bawah naungannya dengan Jabatan Kesihatan Perlis petang semalam.

Turut hadir Mufti Perlis, Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Sirajuddin Hashim mengingatkan setiap ketua keluarga supaya memainkan peranan memantau status kesihatan diri dan ahli keluarga masing-masing.

“Pastikan semua ahli keluarga yang layak divaksin segera mendaftar dan seterusnya mendapatkan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat,” katanya.

Menurutnya tindakan itu amat penting untuk melindungi ahli keluarga masing-masing yang masih belum layak menerima vaksin seperti kanak-kanak dan mereka yang menghidapi penyakit kronik.

Katanya, orang ramai wajib mengamalkan kebiasaan baharu di sepanjang masa dengan memastikan pemakaian pelitup muka yang betul, kerap mencuci tangan dan mengamalkan penjarakan sosial. – HARAKAHDAILY 7/9/2021

- Advertisement -