Malaysia perlu bakat kepimpinan terbaik

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Malaysia diangggap masih memerlukan bakat kepemimpinan terbaik sehingga merentasi jalur politik bagi mengemudi negara mengharungi cabaran pandemik Covid-19.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, kabinet sekarang masih kekurangan pilihan pemimpin dan idea bagi mendepani pandemik.

- Advertisement -

Katanya, sudah sewajarnya pemimpin lapisan pertengahan usia 40-an dan awal 50-an seperti Khairy Jamaluddin ditonjolkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob nampaknya lebih berhati-hati sehingga ahli politik veteran seperti Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid juga mendapat tempat semula dalam kabinet.

“Apa yang berlaku selepas perdana menteri ke-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin diganti baharu, kira-kira 80 peratus anggota kabinetnya dilantik semula,” katanya ketika dihubungi di sini.

Bagaimanapun kata beliau apa yang berlaku itu memperlihatkan perdana menteri
memilih jalan selamat tanpa mahu merisikokan sokongan daripada parti-parti gabungan sedia ada.

Begitu juga katanya pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara dilihat pada sisi lain, ada maslahah politik memandangkan kedudukannya sebagai Presiden Bersatu.

“Kini tumpuan diberikan kepada menteri yang baharu dilantik bagi melaksanakan tanggungjawab mereka ketika rakyat Malaysia mendepani pandemik Covid-19 dan kelembapan ekonomi,” ujarnya.

Sebelum ini Muhyiddin pernah menawarkan jajaran baharu kepada pembangkang dengan konsep rentas parti dengan memberi peluang Ketua Pembangkang setaraf dengan menteri kanan.

Selain itu ahli parlimen pembangkang juga berpeluang mendapat peruntukan tahunan sama dengan penyokong kerajaan.

Namun idea itu ditolak pemimpin utama pembangkang biarpun ada suara-suara termasuk dari DAP mahu jajaran tersebut dilihat secara positif. – HARAKAHDAILY 7/9/2021

- Advertisement -