Undi percaya berperanan dua matlamat berbeza

Dr Muhammad Fathi Yusof
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Konsep undi percaya boleh berperanan dengan dua matlamat berbeza iaitu untuk mengesahkan semula atau menafikan sokongan terhadap seseorang di dalam Dewan Rakyat, kata pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.

Menurutnya, usul berkenaan pernah terlaksana di Perak baru-baru ini membabitkan Menteri Besar negeri berkenaan yang bertukar disebabkan undi percaya tersebut.

“Undi percaya dikenakan untuk menyatakan tidak percaya tapi saya tak tahu adakah di Perak ini memang dirancang dari awal, atau pada asalnya memang nak bagi percaya tapi diolah menjadi undi tidak percaya menggunakan undi percaya.

- Advertisement -

“Tapi undi yang berlaku di Perak ke atas Dato’ Faizal Azumu digunakan untuk tujuan undi tidak percaya, ini juga satu perkara menarik dalam pengalaman negara kita,” ujarnya.

Kata Muhammad Fathi, tiada sebarang prosedur atau peruntukan khusus yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan usul undi percaya atau undi tidak percaya.

Bagaimanapun, undi tidak percaya berteraskan satu konsep di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut mengenai hilang kepercayaan.

“Perkataan hilang kepercayaan itu ada tapi dia tak sebut tentang undi tidak percaya, jadi maksudnya macam ini, kalau kita kata undi tidak percaya, ia berdiri di atas Perkara 43(4) tadi iaitu apabila seorang Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, itu konsep dia.

“Jadi tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu cara yang paling jelas dibuktikan melalui undi tidak percaya, tapi kalau kita perhatikan ada juga berlaku undi percaya yang digunakan untuk buktikan bahawa dia tidak lagi mendapat kepercayaan tadi,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, undi tidak percaya pernah berlaku pada peringkat negeri sebelum ini melibatkan beberapa buah negeri.

“Pada tahun 1961, Menteri Besar Terengganu, Daud Samad jatuh kerana undi tidak percaya.

“Undi tidak percaya dalam dewan juga pernah berlaku di negeri Kelantan terhadap Menteri Besar Kelantan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada tahun 1977.

“Menteri Besar yang dipilih oleh PAS pada awalnya, Mohd Nasir diturunkan oleh PAS sendiri melalui undi tidak percaya juga,” katanya.

Bagaimanapun ujar Muhammad Fathi, konsep undi percaya mempunyai dua tujuan ianya digunapakai meskipun tidak termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Tujuan pertama yang berlaku di dalam negara kita, undi percaya ini untuk menyatakan tanda sokongan kepada Perdana Menteri baharu sebenarnya.

“Konsep ini bukan sekadar atas sentimen Perdana Menteri itu sahaja tapi atas sentimen tokoh berkenaan baru dilantik menjadi presiden parti, pengerusi parti dan sebagainya.

“Jadi diadakan undi percaya itu seperti mana berlaku pada 1976 apabila turun Tun Hussein Onn dan pada tahun 2003 Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) tapi tujuan dia adalah untuk menyatakan sokongan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel di dalam Webinar Intelektual Negara bertajuk ‘Usul Undi Percaya: Masih Perlukah?’ yang bersiaran langsung di Youtube Pertubuhan Intelektual Negara, malam tadi.

Turut hadir selaku ahli panel, Pengerusi Kelab Usahawan dan Profesional Malaysia (KUPM), Dato’ Sri Dr Kamarul Rashdan Salleh, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kartini Aboo Talib@Khalid manakala Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Dr Kamarul Zaman Yusoff bertindak sebagai moderator. – HARAKAHDAILY 6/9/2021

- Advertisement -