PM percaya kredibiliti Muhyiddin

- Advertisement -

Oleh EVA NATAHA SADALI

KUALA LUMPUR: Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob membuktikan kapasiti keupayaan beliau membawa negara keluar daripada wabak Covid-19 sebelum ini.

Ketua Penerangan PAS Malaysia, Kamaruzaman Mohamad berkata, lantikan Ahli Parlimen Pagoh itu bagi mengepalai MPN turut menggambarkan keyakinan Perdana Menteri terhadap barisan kabinet bagi memulihkan krisis yang dihadapi negara.

- Advertisement -

“Pelantikan ini sebagai kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan program pemulihan negara yang telah dicetuskan di zaman beliau.

“Pelantikan ini juga menggambarkan bahawa program pemulihan negara telah berada pada landasan yang tepat dan perlu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengepalai program pemulihan negara melalui lantikan beliau sebagai pengerusinya.

“MPN sebagai suatu jawatankuasa yang sangat penting bagi mengepalai keseluruhan program negara untuk pulih serta keluar daripada wabak Covid-19 dan seterusnya memacu negara keluar daripada segala kemelut yang berlaku hari ini,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau turut berpandangan kerajaan Ismail Sabri merupakan kesinambungan kerajaan Muhyiddin yang hanya mempunyai perubahan kecil ke atas beberapa portfolio.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Negara (MPN) bertaraf menteri.

Mohd Zuki dalam kenyataannya berkata, pelantikan Muhyiddin diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada 1 September lalu dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – HARAKAHDAILY 6/9/2021

- Advertisement -