Kerja baiki infrastruktur dilakukan berhati-hati

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan melakukan lawatan kerja ke kawasan bencana geologi tanah runtuh dan aliran puing di sekitar Gunung Jerai, Kedah, kelmarin.

Turut sama dalam lawatan itu ialah beberapa agensi di bawah KeTSA, antaranya Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah. 

- Advertisement -

Dalam taklimat yang diberikan di Pusat Peranginan Titi Hayun yang juga dijadikan Pusat Operasi Bencana, pihak JMG memaklumkan mereka sedang dalam proses menganalisis penzonan zon berisiko tanah runtuh atau aliran puing bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan cerun-cerun berisiko untuk tindakan lanjut oleh Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Insya-Allah semua agensi berkaitan di bawah KeTSA dan kementerian lain akan digerakkan secara berintegrasi bagi mendapatkan penyelesaian terbaik dalam menangani bencana ini di samping memanfaatkan peruntukan daripada kerajaan secara maksimum,” ujar Takiyuddin dalam hantaran di laman Facebooknya, kelmarin.

Beliau berharap semoga perancangan itu berjalan lancar dan berjaya diselesaikan menjelang Disember tahun ini.

Tragedi pada 19 Ogos yang pada mulanya disangka hanya banjir biasa itu telah meragut enam nyawa penduduk di kawasan terjejas.

“Ketika ini kerja-kerja pembaikan infrastruktur di sekitar sedang berjalan, namun semua yang terlibat masih perlu berhati-hati kerana ia mungkin berulang pada bila-bila masa,” katanya.

Rombongan beliau berkesempatan menyantuni warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sedang bertugas membaik pulih aset dan infrastruktur TNB yang rosak akibat bencana tersebut.

Pihak TNB turut menyediakan generator bergerak untuk menyalurkan bekalan sementara kepada kawasan terjejas hingga bekalan elektrik pulih sepenuhnya.

Takiyuddin juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada TNB atas sumbangan yang dihulurkan bagi tujuan pemulihan kawasan serta untuk mangsa yang terjejas.

Turut sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah, Ketua Polis Daerah Yan, DSP Shahnaz Akhtar Haji, Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit dan ADUN Sungai Limau Ustaz Mohd Azam Abdul Samad. HARAKAHDAILY 6/9/2021

- Advertisement -