T’ganu kekal Fasa Kedua, penggunaan katil ICU masih tinggi

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu belum boleh beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) disebabkan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) yang masih tinggi dan melebihi syarat ditetapkan.

Menteri Besarnya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada masa ini penggunaan katil ICU bagi merawat pesakit Covid-19 di negeri itu sebanyak 60 peratus, sedangkan syarat yang ditetapkan kerajaan untuk beralih ke fasa seterusnya adalah lebih kurang 50 peratus.

- Advertisement -

“Jika berdasarkan kadar vaksinasi, kita sudah melepasi syarat yang ditetapkan kerana sehingga kini sebanyak 84 peratus populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 manakala 51 peratus lengkap dos kedua,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Misi Kebajikan Bersamamu di Dewan Sivik Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading, di sini hari ini.

Pada 5 Julai lepas, Terengganu bersama Perlis, Perak, Pahang dan Kelantan beralih ke Fasa Dua PPN selepas berjaya mencapai tiga indikator nilai ambang yang ditentukan iaitu kes harian Covid-19, kapasiti unit rawatan rapi (ICU) serta vaksinasi lengkap meliputi 10 peratus daripada keseluruhan populasi.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata penjanaan semula ekonomi rakyat untuk beralih ke fasa endemik Covid-19, akan menjadi fokus kerajaan negeri dalam merangka kandungan Belanjawan 2022.

Katanya setakat ini kerajaan negeri masih lagi mendapatkan pandangan dan cadangan daripada pelbagai pihak termasuk rakyat, badan bukan kerajaan dan golongan profesional bagi input belanjawan tersebut. – BERNAMA

- Advertisement -