KPWKM perhalusi agenda konsep Keluarga Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengadakan sesi libat urus dengan 40 pakar bagi merealisasikan konsep Keluarga Malaysia.

Timbalan Menterinya Dato’ Seri Zailah Mohd Yusoff berkata, pakar terbabit meliputi ahli akademik dan profesional daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dan badan bukan kerajaan (NGO).

- Advertisement -

Katanya, sesi libat urus itu bagi mendapatkan idea, input dan pandangan bagi merealisasikan konsep Keluarga Malaysia.

“Perbincangan tertumpu kepada dasar, perundangan, program, aktiviti dan advokasi kepada seluruh kumpulan sasar dan pihak pemegang taruh berkaitan.

“Pelaksanaan akan direalisasikan dalam beberapa fasa iaitu jangka pendek, jangka sederhana dan panjang InsyaAllah,” katanya pada perkongsian di laman sosialnya semalam.

Konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Ogos lepas, mengajak semua pihak termasuk pembangkang bersama-sama memulihkan negara dengan berjuang menangani pandemik Covid-19.

Di mana sifatnya lebih inklusif dan merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum demi keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

Siti Zailah juga berkata, pandangan dan sumbang saran pada program libat urus itu dapat membantu pihak KPWKM merealisasikan konsep Keluarga Malaysia.

“Syukur ke hadrat Allah kerana dipermudahkan sesi yang sangat baik bagi mendapatkan pelbagai idea dan perkongsian hasil kajian para ilmuan dan pakar dalam negara kita.

“Semua kita adalah entiti penting dan mampu berperanan menjayakan konsep Keluarga Malaysia untuk manfaat kita semua,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/9/2021

- Advertisement -