Gangguan air di Selangor, Putrajaya dijangka pulih Jumaat ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gangguan bekalan air di 463 kawasan akibat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih, dijangka pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam, Jumaat ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata pihaknya telah menjalankan ujian kualiti air di LRA tersebut dengan mematuhi piawaian ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

- Advertisement -

 “Air terawat dari LRA Sungai Semenyih telah disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada para pengguna. Pada masa kini, Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air di kesemua kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bekalan air bersih dan selamat telah mula disalurkan secara berperingkat ke kawasan terjejas bermula 7 pagi tadi dengan menggunakan 94 lori tangki air.

Semalam, gangguan bekalan air itu meliputi lima wilayah Air Selangor iaitu 172 kawasan di Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh merujuk laman sesawang www.airselangor.com dan semua saluran rasmi media sosial Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram serta menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor, untuk sebarang pertanyaan dan aduan. – BERNAMA

- Advertisement -