Covid: Semangat kenegaraan, jati diri tidak boleh pudar

- Advertisement -

Oleh FIKAH M

SANDAKAN:
Ketua Pemuda PAS Libaran, Kamsaa Osman berkata, semangat kenegaraan dan jati diri tidak boleh pudar walaupun negara masih menghadapi penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, rakyat seharusnya perlu lebih bersemangat untuk bersatu padu dalam mengekang penularan wabak itu.

“Walaupun dalam situasi pandemik Covid-19 kini, semangat kenegaraan dan jati diri sebagai rakyat Malaysia tidak boleh pudar, malah kita seharusnya perlu lebih bersemangat untuk bersatu padu dalam mengekang penularan wabak ini,” ujarnya pada Program Kasih Merdeka anjuran PAS Kawasan Libaran di sini, semalam.

- Advertisement -

Mengenai program itu, beliau berkata, ia bukanlah sekadar edaran bendera semata-mata tetapi bertujuan meningkatkan lagi semangat patriotik dalam diri.

Program Kasih Merdeka merupakan aktiviti tahunan PAS kawasan bagi menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan.

Ia bermula dengan agihan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sekitar Parlimen Libaran yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat setempat.

Selain itu, penganjur turut mengedar sarapan kepada penghantar makanan Foodpanda dan Grab Food di samping mendengar luahan serta isi hati berkaitan sumber ekonomi mereka.

Program diakhiri dengan agihan sumbangan kit makanan kepada asnaf dan mereka yang memerlukan di Kampung Tinusa 1 dan 2, Sungai Kayu, Batu Putih dan Pangeran Galpam.

Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS kawasan, Abdul Waheed Mohamad, Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Huseen Raheem. – HARAKAHDAILY 30/8/2021

- Advertisement -