Anugerah Cemerlang UMK secara atas talian

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

BACHOK: Seramai 101 kakitangan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 yang diadakan secara atas talian.

Setiap penerima APC 2020 menerima insentif berupa hadiah wang tunai dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) RM1,000 dan sijil perkhidmatan cemerlang.

- Advertisement -

Turut diraikan enam penerima Anugerah Jasa Bakti (AJB) dan dua penerima Anugerah Jasa Setia (AJS). Masing-masing menerima sijil penghargaan, plak dan wang tunai.

Naib Canselor UMK, Prof Dato’ Dr Noor Azizi Ismail berkata, tahun ini UMK meraikan kecemerlangan kakitangan dalam normal baharu berikutan pandemik Covid-19 yang masih melanda.

Katanya, UMK tidak melupakan jasa mereka yang bertugas dengan penuh dedikasi.

“Saya yakin kakitangan UMK tetap bertugas dengan penuh komited dan bukannya mengharapkan penghargaan.

“Sedar atau tidak, setiap tugasan yang dilakukan adalah memberi impak kepada diri kita, UMK dan masyarakat di sekeliling,” ujarnya ketika merasmikan APC 2020 menerusi Facebook UMK baru-baru ini.

Dr Noor Azizi juga berkata, setiap perkhidmatan yang paling penting bagi saya ialah niat. Niat kita laksanakan tugas adalah kerana Allah dan ingin berbakti kepada semua melalui UMK,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/8/2021

- Advertisement -