Merdeka dalam pandemik: PAS Rasah anjur program sanitasi

- Advertisement -

Oleh JANIRA AIN ABU BAKAR

RASAH: PAS Kawasan Rasah membawakan kelainan dalam menyemarakkan bulan kemerdekaan tahun ini.

- Advertisement -

Dua program sanitasi telah dilaksanakan di sekitar parlimen Rasah, pada Sabtu.

Program Sanitasi Kenderaan Percuma telah dilaksanakan sempena menyambut Hari Kebangsaan ke-64 bertempat di perkarangan Surau Al-Jannah, Taman Gadong Jaya, Labu.

Program dirasmikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Rasah iaitu Ustaz  Khairil Anuar Mohd Wafa yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Negeri Sembilan.

“Aktiviti sebegini dilihat amat bertepatan dengan keadaan hari ini yang mana kita perlu memerdekakan negara daripada Pandemik Covid-19.

“Dalam masa yang sama, semangat patriotisme perlu disemarakkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang yang menjadi panji kedaulatan negara,” ujar Ustaz Khairil Anuar.

Penganjuran program ini adalah hasil kerjasama PAS Kawasan Rasah dengan Jabatan Amal Malaysia dan Jabatan Kesenian, Kebudayaan & Sukan (DACS) Kawasan Rasah. Selain khidmat sanitasi percuma, bendera Jalur Gemilang turut dipasangkan pada kenderaan.

Menurut Komandan Jabatan Amal Malaysia Tn Ahmad Yusri Abdul Salam, program hari ini akan dianjurkan lagi memandangkan sambutan penduduk-penduduk sekitar amat memberangsangkan.

Jabatan Amal Malaysia memberikan komitmen untuk meneruskan program sanitasi kenderaan ini di lokasi-lokasi yang akan ditentukan kelak.

Ketua Jabatan Kesenian, Kebudayaan & Sukan (DACS), Norhirman Mohd Yusof  yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Rasah melihat inisiatif ini amat tepat pada masanya.

“Tanggungjawab mengekang penularan wabak Covid-19 adalah tanggungjawab kita bersama. Justeru DACS sangat menyambut baik saranan agar ia diteruskan. Program ini juga adalah ruang khidmat sosial yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat,” ujarnya.

Program yang berlangsung sejak jam 9.00 pagi berjaya mensanitasi 45 kenderaan secara percuma dan dijalankan mengikut SOP yang ketat sebagaimana yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Turut hadir, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Rasah, Hj Mad Nor Pazil dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Rasah, Ustaz Mumtaz Harun.

Program seterusnya dilanjutkan oleh Jabatan Amal di Balai Polis Labu. Sanitasi dilakukan melibatkan seluruh kawasan balai, termasuk kuarters penginapan anggota polis.

Ketua Balai Polis Labu, SM Mohd Aris Mohd Salleh berbesar hati dengan inisiatif ini yang disifatkannya sebagai satu usaha yang sangat baik. Beliau mengucapkan terima kasih atas kehadiran 7 anggota Jabatan Amal yang bertugas. – HARAKAHDAILY 30/8/2021

- Advertisement -