Amzad mahu jadikan Malaysia negara berteknologi tinggi

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berharap Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi 2020-2030 dapat diperkasakan.

Tujuannya adalah demi merealisasikan hasratnya menjadikan Malaysia negara berpendapatan dan berteknologi tinggi melalui penghasilan dan penggunaan lebih banyak inovasi teknologi tempatan.

- Advertisement -

Menurutnya, hasrat itu selari dengan jangkaan bahawa manusia akan terus hidup bersama Covid-19 sebagai endemik.

“Kerana itu kita kena terus pacu penggunaan lowtouch technology yg mengurangkan sentuhan dan interaksi fizikal dalam sektor sosial dan pekerjaan. Ini akan terus diberi tumpuan oleh MOSTI,” ujarnya.

Tambah Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, terdapat beberapa roadmap yang sedang dibangunkan di bawah seliaannya.

Antaranya Roadmap For Advanced Material seperti composite, graphene, nanotechnology yang perlu dijayakan.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran Facebooknya, sejurus selepas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan senarai kabinet Malaysia, hari ini.

Amzad kekal dalam jawatan sama, manakala Menteri MOSTI bertukar tangan kepada Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada YB Khairy Jamaluddin atas tugas baharu beliau dan selamat maju jaya.

“Beliau seorang ketua dan pemimpin yang hebat dan saya akan terus bekerjasama dengan beliau dalam urusan antara kementerian beliau dan MOSTI.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan selamat bersama kepada YB Datuk Seri Adham Baba atas perlantikan sebagai Menteri MOSTI.

“Beliau sahabat saya dan pengalaman beliau di KKM sudah tentu diperlukan di MOSTI,” ujarnya.

Amzad dalam masa sama turut mengucapkan terima kasih terhadap Ismail Sabri atas kepercayaan yang diberikan untuk terus melihat dirinya meneruskan tugas di MOSTI.

Beliau turut memohon doa daripada orang ramai supaya dirinya diberikan taufik dan hidayah untuk memberi khidmat terbaik dalam menunaikan amanah. – HARAKAHDAILY 27/8/2021

- Advertisement -