Pelajar tahfiz berdepan risiko hilang tempat belajar

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

PASIR PUTEH: Kerajaan dicadang mewujudkan geran tahunan bagi membantu pusat pengajian tahfiz al-Quran yang berdepan kesukaran meneruskan operasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di Semerak terdapat enam pusat tahfiz yang bergelut dengan masalah tersebut.

Pusat tahfiz tersebut terletak di Kampung Dalam Rhu, Kampung Dalam Rhu, Pak Makyong, Kampung Besar, Kuala Semerak dan Kampung Dalam Huma.

- Advertisement -

Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, lebih 500 pelajar tahfiz sebahagian besar anak golongan asnaf mungkin hilang tempat belajar sekiranya tiada bantuan daripada mana-mana pihak.

“Ini disebabkan mereka sukar untuk mendapatkan dana bagi keperluan makan minum, bil elektrik dan air,” katanya kepada pemberita selepas melawat Maahad Tahfizul Quran Al-Bukhari di Tok Bali dekat sini, hari ini.

Menurutnya melalui geran bantuan itu dapat meringankan beban pihak pengurusan pusat tersebut memandangkan sebelum ini mereka mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak.

Sementara itu, Mudir Maahad Tahfiz Quran Al-Bukhari, Khahairizal Abdullah berkata, pihaknya menanggung bil elektrik dan air tertunggak sejak tiga bulan lepas berjumlah RM3,500.

Bagaimanapun katanya semalam ada pihak tampil menjelaskan bil terbabit selepas ia tersebar di media sosial.

“Kami menjangka pusat tahfiz ini terpaksa ditutup dalam tempoh enam bulan akan datang sekiranya tidak menerima sebarang bantuan dana bagi menampung kos operasi.

“Perbelanjaan makan dan minum pelajar dianggarkan sebanyak RM300 sehari yang melibatkan 25 pelajar,” katanya.

Khahairizal juga berkata, sebelum pelaksanaan PKP seramai 80 pelajar termasuk dari Terengganu, Vietnam, Indonesia dan Kemboja mengikuti pembelajaran secara percuma di pusat itu yang ditubuh pada 1998. – HARAKAHDAILY 27/8/2021

- Advertisement -