Landskap ekonomi digital perlu pembaharuan menyeluruh

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Pembaharuan keseluruhan landskap ekonomi mencakupi ekonomi digital merupakan usaha agresif yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, usaha untuk membentuk ruang ekonomi yang luas dengan melibatkan kerjasama anak muda dalam ekonomi e-dagang secara maya dan digital melalui sistem pembayaran teknologi kewangan (fintech) secara online, merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian dan diperkasakan.

- Advertisement -

“Kemampuan kita membentuk ekonomi yang kalis krisis adalah antara agenda yang perlu melibatkan pandangan dan kerjasama anak muda dan pelbagai pihak,” katanya.

Justeru, menurut beliau, pihaknya menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob tentang kepentingan terhadap kerjasama anak muda bagi mengangkat agenda besar berkenaan dalam membantu memulihkan negara.

“Golongan anak muda adalah pihak yang paling menerima terkesan impak pandemik Covid-19 disebabkan sektor pekerjaan merupakan antara yang paling terjejas teruk.

“Jika masalah ini dapat dipulihkan segera maka ekonomi negara akan bergerak pantas dalam rangka memperkasa pelan pemulihan ekonomi negara,” katanya kepada HarakahDaily.

Beliau berkata, halangan fizikal dan pembatasan jarak yang berlaku semasa prlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN), menyebabkan komuniti perniagaan platform digital dan teknologi maklumat sangat penting dan perlu diaktifkan segera.

Ini kerana, kata Mohd Zai, segmen berkenaan dikuasai sepenuhnya oleh golongan anak muda yang merupakan pengguna tegar platform digital dalam rangkaian ekosistem perniagaan digital.

“Maka adalah sangat penting saranan Perdana Menteri direalisasikan dengan sebaiknya bagi menyokong dan memperkasakan bidang berkenaan yang akan memberi impak besar kepada peluang pekerjaan dan perniagaan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, golongan anak muda merupakan generasi baharu yang akan meneroka ekonomi pascapandemik akibat kekangan perniagaan secara bersemuka.

“Sudah pasti ini akan memberi kesan positif dengan lebih pantas bagi membangun perniagaan yang melibatkan industri kecil dan sederhana. Jika ia dapat dilaksanakan, negara akan dapat menyelamatkan generasi anak muda pada masa hadapan yang merupakan aset negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2021

- Advertisement -