Bab 4: Langkah ketiga – Penyerahan tesis dan viva

- Advertisement -

MENDAPAT kebenaran dari penyelia sebelum menyerah tesis

Satu perkara penting dalam proses menyiapkan tesis ialah memastikan draf akhir tesis dibaca dan disemak oleh penyelia setelah 3-4 tahun menulis tesis. Kerana itu, ia amat penting bagi seseorang calon PhD memberi masa yang sesuai untuk penyelia membaca keseluruhan draf akhir tesis. Pada peringkat ini sepatutnya tidak ada banyak pembetulan yang perlu dibuat kerana proses semakan awal oleh penyelia telah dibuat semasa penulisan tesis.

Dalam semakan draf akhir tesis, penyelia akan memastikan penulisan setiap bab mengikut turutan kajian. Penekanan bab pertama, analisa dan penutup akan diberi tumpuan kerana bab-bab ini amat penting dalam penulisan tesis PhD hasil daripada kajian yang dibuat.

- Advertisement -

Setelah penyelia berpuas hati dengan pembetulan ke atas draf akhir tesis, barulah calon dibenarkan untuk menyerah tesis untuk tujuan pemeriksaan oleh panel pemeriksa dalaman dan luar sebelum sesi viva. 

Terdapat kes di mana penyerahan tesis tidak mendapat ‘restu’ atau kebenaran penyelia mungkin kerana masih terdapat penambahbaikan dan pembetulan tesis tersebut. Tetapi atas sebab-sebab tertentu di pihak calon PhD, mungkin tamat tempoh biasiswa atau tamat tempoh pengajian, maka tesis itu diserahkan ke pejabat untuk proses pemeriksaan dan viva.

Percayalah, seandainya ini berlaku, kemungkinan besar calon PhD ini akan melalui laluan sukar dalam proses seterusnya. Laporan awal pemeriksa yang tidak memihak kepada calon dan sesi viva yang sukar menanti. Kemungkinan pembetulan besar (major corrections) yang akan mengambil masa sehingga setahun atau penyerahan semula dan viva sekali lagi (resubmission and reviva) akan mematah semangat calon PhD untuk meneruskan perjuangan yang telah makan masa yang panjang. Ramai yang kecundang bila melalui proses ini. 

Baca semula tesis dan tulis ringkasan dalam satu halaman bagi setiap bab

Setelah penyerahan tesis dibuat dan sementara menunggu sesi viva diadakan, elok calon membaca semula tesis dan menulis ringkasan setiap bab dalam satu halaman. Masa menunggu untuk proses viva ini tertakluk kepada keadaan. Lazimnya ia mengambil masa 2-3 bulan setelah penyerahan tesis. Tetapi ada juga nasib yang kurang baik. Penulis sendiri menunggu sehingga 10 bulan untuk menghadiri sesi viva. Ini kerana proses untuk mendapatkan pemeriksa luar melalui kesukaran. Tetapi alhamdulillah, penantian yang lama itu dihadiahkan dengan keputusan lulus tanpa pembetulan (pass without correction). 

Pentingnya membuat nota ringkasan setiap bab dalam satu halaman adalah untuk membantu persiapan menjawab soalan dalam sesi viva. Amalan di SOAS, calon tidak diberi peluang untuk membentangkan tesis tetapi terus diajukan soalan bertubi-tubi oleh pemeriksa luar dan dalaman. Penulis masih ingat melihat banyaknya tanda di halaman tesis di hadapan pemeriksa.

Bahkan membaca tesis berulang kali sebelum viva banyak membantu persiapan untuk menjawab soalan-soalan dalam sesi viva. Masih dalam ingatan penulis bila mana mendapat emel dari penyelia dari London bahawa sesi viva akan diadakan kurang dari seminggu. Pada masa itu, penulis sudah balik ke tanah air dan kembali bertugas di UiTM. Pada masa itu pula, musim peperiksaan. 

Tanpa berfikir panjang, penulis terus membeli tiket kapal terbang, memohon cuti khas dua minggu dan meminta rakan sejawat membantu memeriksa kertas jawapan peperiksaan akhir yang sedang berjalan. Perjalanan 13 jam dari Kuala Lumpur ke London dimanfaatkan sepenuhnya untuk membaca tesis dan nota ringkasan yang telah dibuat. Perjalanan 13 jam dirasakan begitu pantas kerana habis dengan membaca tesis dan nota ringkasan tersebut. Maklumlah penulis telah meletak tepi tesis PhD yang telah diserahkan di Senate House, University of London 10 bulan sebelum itu. 

Sediakan contoh jawapan ringkas

Satu tip yang penting dalam persiapan menghadiri sesi viva ialah menulis jawapan ringkas bagi setiap persoalan penting yang terdapat dalam tesis. Sebagai contohnya, dalam bab kajian terdahulu yang merangkumi banyak sumber dari pelbagai penulis, pastikan penulisan oleh penulis tersohor dan penting dalam bab kajian dirujuk dan tulis contoh jawapan ringkas.

Terdapat sesetengah universiti mengadakan viva olok-olok (mock viva) yang ‘pemeriksa’ adalah terdiri dari pensyarah dalaman universiti. Soalan-soalan mereka sangat penting untuk diambil perhatian dalam persiapan sesi viva sebenar. Sediakan contoh jawapan ringkas dari soalan-soalan tersebut. Kita akan bincang bab ini kemudian.

Jawapan ringkas tersebut hendaklah disusun mengikut halaman dan bab dalam tesis bagi memudahkan rujukan apabila ditanya oleh pemeriksa luar atau dalaman dalam sesi viva.

Letakkan petanda halaman penting

Ini merupakan perkara kecil dan remeh bagi sesetengah orang. Tetapi percayalah, petanda halaman amat penting dan berguna semasa sesi viva. Letakkan petanda halaman pemisah bagi setiap bab serta tulis bab berkenaan. Ia juga penting diletakkan di halaman kajian terdahulu, persoalan kajian, objektif kajian, metodologi dan bab analisa kajian serta penutup. Jangan sama sekali tercari-cari sehingga masa berlalu semasa sesi viva kerana ia memberi gambaran tidak elok kepada pemeriksa seolah-olah calon tersebut tidak menguasai kajian PhD yang dibuat. Ingat, sebagai calon PhD, kitalah yang mahir dalam kajian PhD yang dibuat dan bukannya penyelia. Walaupun penyelia turut hadir dalam sesi viva tersebut, penyelia tidak boleh membantu menjawab calon PhDnya.

Ini lebih membawa kepada implikasi ke atas keputusan yang telah disediakan oleh pemeriksa luar dan dalaman sebelum sesi viva sekiranya calon berkenaan didapati tidak dapat memberi hujah dan mempertahankan hasil kajian dalam tesis PhDnya.

Terdapat laporan berbeza antara dua pemeriksa luar dan dalaman sebelum viva dan keputusan akan dibuat sama ada lulus tanpa pindaan (pass without correction) atau lulus dengan pindaan kecil (pass with minor corrections) atau lulus dengan pindaan besar (pass with major corrections) atau penyerahan semula tesis dengan sesi viva (resubmission with viva) atau gagal (fail). Justeru, hujah dan jawapan dalam sesi viva selain penulisan tesis banyak mempengaruhi keputusan pasca viva.

Minta bantuan rakan bacakan tesis

Satu perkara penting yang jarang dilakukan oleh calon PhD ialah meminta bantuan rakan sekerja atau mereka dalam bidang untuk membaca draf tesis PhD. Perasaan malu, segan dan tidak mahu berkongsi penulisan tesis dengan orang lain sebenarnya merugikan sendiri.

Ada orang bertanya, perlukah memberi orang lain membaca draf tesis sebab penyelia utama dan penyelia bersama telah membacanya? Jawapannya, ‘sunat’ sahaja. 

Buang rasa malu dan segan. Ini kerana, di samping komen dan cadangan oleh rakan terutama pakar bidang sangat membantu kita dalam memperbaiki draf tesis. Pengalaman penulis membaca tesis rakan sangat dihargai oleh beliau.

Meskipun begitu, jangan sama sekali ‘bergaduh’ dengan penyelia sekiranya cadangan oleh rakan yang membaca draf tesis kita tidak dipersetujui oleh penyelia. Ingat, penyelia ‘is always right’.

Cadangan oleh rakan yang mempunyai kepakaran dalam bidang kajian PhD kita boleh dimasukkan sekiranya ia selari dengan fikrah penyelia. Jangan sama sekali melawan fikrah penyelia. Kerana itu, penulis telah berkongsi di awal penulisan ini bahawa, calon PhD, penyelia dan pemeriksa mestilah mempunyai fikrah yang sama.

Bersambung Bab 4: Langkah Ketiga – Penyerahan Tesis dan Viva. Selidik Latar belakang Pemeriksa, Adakan Mock Viva (Viva Olok-olok), Tanya Pemeriksa Mengulang Soalan Sekiranya Tidak Jelas, Tenang, Jangan Panik, Buat Yang Terbaik, Viva Yang Pendek Petanda Baik.

PROFESOR MADYA DR, MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia– HARAKAHDAILY 26/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/577910208/posts/10159641475030209/

- Advertisement -