Vaksinasi Covid-19: Malaysia dahului negara lain

- Advertisement -

KEMUNCULAN delta variant telah menimbulkan kegusaran di seluruh dunia berkenaan keberkesanan program immunisasi Covid-19. Kegusaran ini ada asasnya apabila kita melihat kes harian masih tidak menurun walaupun berlaku peningkatan kadar pemberian vaksin di seluruh negara.

Namun, kita kena memahami bahawa CDC (Centers for Disease Control) telah menetapkan bahawa seseorang individu mendapat perlindungan vaksin secara penuh selepas 2 minggu menerima dos kedua vaksin1.

- Advertisement -

Data yang telah dikeluarkan oleh Public Health England pada 22 Mei menunjukkan keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech 88 peratus untuk mencegah penularan varian delta, sementara keberkesanan AstraZeneca adalah 60 peratus untuk mencegah penularan varian delta. Namun kedua-dua vaksin 94 peratus berkesan untuk mencegah kemasukan kes covid ke hospital2.

Pelaksanaan PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) merangkumi rancangan yang komprehensif meliputi pra-pelaksanaan, pelaksanaan dan pasca pelaksanaan, yang mengambil kira penyediaan fasiliti, koordinasi tenaga kerja, garis panduan, pemantauan, pelaporan dan infrastruktur sokongan bagi memastikan keseluruhan fasiliti yang selesa dan selamat untuk rakyat.

Menerusi perancangan awal, sasaran PICK bagi mencapai sasaran 80 peratus penduduk Malaysia menerima vaksin dijangka diselesaikan pada Februari 2022. Namun, tempoh masa ini telah disingkatkan kepada Disember 2021 apabila mengambil kira keadaan penularan Covid-19 yang sangat membimbangkan untuk tempoh beberapa bulan ini.

Selain daripada sasaran jumlah penerima vaksin, prestasi PICK juga turut menjadi salah satu daripada nilai ambang yang ditetapkan bagi peralihan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara.

Nilai ambang yang ditetapkan adalah berdasarkan peratusan populasi dewasa 18 tahun ke atas yang telah menerima dos vaksin lengkap di setiap negeri. Nilai ambang yang ditetapkan bagi PICK adalah seperti berikut:

  • a) Fasa 1 kepada Fasa 2: 10 peratus menerima dos lengkap
  • b) Fasa 2 kepada Fasa 3: 40 peratus menerima dos lengkap
  • c) Fasa 3 kepada Fasa 4: 60 peratus menerima dos lengkap

Program Immunisasi Covid Kebangsaan (PICK) mula menunjukkan keberjayaan di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak. Labuan adalah negeri pertama yang mencapai liputan immunisasi lebih 80 peratus daripada populasi dewasa. Negeri ini yang pernah mencatatkan kes 132 sehari pada 30 Jun mula menunjukkan penurunan kes yang ketara sehingga tujuh kes sehari pada 2 Ogos setelah mencapai liputan immunisasi lebih 80 peratus daripada populasi dewasa.

Negeri Sarawak juga antara negeri yang telah mencapai liputan immunisasi yang tinggi iaitu 67 peratus daripada populasi dewasa. Kita boleh melihat bahawa peningkatan liputan imunisasi telah menurunkan kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke ICU. Ini secara tidak langsung akan mengurangkan beban kepada sistem kesihatan.

Figure 1 Perbandingan Kadar Vaksinasi dan Kes Covid-19 di ICU
Figure 2 Kadar Kes Harian di Labuan pada 3 Ogos 2021

Walaupun kadar liputan immunisasi yang tinggi di Lembah Kelang masih lagi tidak menunjukkan kesan kepada penurunan kes Covid-19 di Lembah Kelang, namun data menunjukkan bahawa kadar kemasukan ke ICU sudah berada dalam keadaan mendatar. Ini merupakan satu indikator yang baik berkenaan keberkesanan PICK.

Figure 3 Penurunan sebanyak 50 peratus kemasukan warga emas ke Hospital Sungai Buloh

Harus diingat bahawa vaksin Covid-19 mula menunjukkan kesan setelah dua minggu mendapat dos kedua vaksin. Keberkesanan PICK di Lembah Kelang kemungkinan besar akan dapat dilihat setelah liputan dua dos vaksin mencapai peratusan lebih 50 peratus.

Kesimpulannya, PICK telah berjaya untuk mengawal pandemic Covid-19 dalam negara ini. Jika dilihat dari nilai ambang yang ditetapkan bagi pelaksanaan PICK untuk peralihan fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara pula, sebanyak empat belas buah negeri (termasuk Wilayah Persekutuan KL dan Putrajaya) telah melepasi nilai yang ditetapkan bagi peralihan daripada fasa 1 ke fasa 2, manakala dua buah negeri iaitu Sarawak, Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan telah melepasi nilai ambang bagi peralihan ke fasa 3.

Seperti mana yang telah dinyatakan sebelum ini, kadar vaksinasi harian di seluruh negara akan mencapai purata sebanyak 150 hingga 160 ribu suntikan dos sehari menjelang Jun dan jumlah ini akan terus meningkat pada suku ketiga 2021.

Pada bulan Jun yang lalu, purata suntikan yang telah dicapai adalah sebanyak 169,175 dos. Manakala bagi bulan Julai, sasaran purata yang telah ditetapkan adalah sebanyak 300 ribu suntikan dos sehari.

Sehingga semalam, purata yang telah dicapai sepanjang bulan ini adalah sebanyak 378,661 dos sehari. Ini bermakna, telah berlaku peningkatan sebanyak 124 peratus apabila dibandingkan kadar purata antara bulan Jun dan purata bulan Julai sehingga hari semalam.

Sebagai perbandingan peningkatan kadar vaksinasi, pemberian vaksinasi semenjak permulaan PICK pada Februari sehingga bulan Jun yang lalu adalah sekitar 8 juta dos. Tetapi untuk bulan Julai ini sahaja, sehingga ke hari ini, pemberian vaksin telah melebihi 10 juta dos.

Selain itu juga, kadar vaksinasi harian juga telah mencatatkan jumlah tertinggi pada 29 Julai apabila sebanyak 556,404 dos berjaya diberikan di seluruh Malaysia yang mana semalam, seramai 343,530 orang adalah penerima dos pertama manakala 212,874 orang lagi adalah penerima dos kedua.

Figure 4: Kadar Suntikan Harian Tertinggi di Malaysia

Malah, berdasarkan statistik yang dikeluarkan menerusi laman web Our World in Data, kadar vaksinasi per kapita di Malaysia kini adalah yang terpantas di seluruh dunia. Peratusan penduduk Malaysia yang telah menerima vaksin bagi sekurang-kurangnya satu dos juga mengatasi beberapa negara maju seperti Australia, Korea Selatan dan New Zealand.

Figure 5 Jumlah Penduduk di Malaysia yang telah menerima vaksin telah melepasi purata dunia
Figure 6 Kadar Vaksinasi Harian Malaysia ketiga tertinggi di dunia pada 25 Julai 2021

Selain daripada 3 fasa utama di bawah PICK yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negara, fasa 4 atau fasa kawalan wabak juga akan sentiasa diaktifkan mengikut keperluan semasa.

Menerusi fasa kawalan wabak ini, CITF akan membuat keputusan apabila terdapatnya satu keperluan yang mengambilkira kepentingan kesihatan awam untuk mempercepatkan vaksinasi di satu-satu kawasan yang sedang menunjukkan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19.

Sehingga kini, CITF Persekutuan telah mengaktifkan tiga fasa kawalan wabak iaitu;

  1. Bagi pekerja sektor penting dan perlu yang harus terus bekerja sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP);
  2. Operasi kawalan wabak Labuan disebabkan penularan varian Delta; dan yang terkini
  3. Operasi Lonjakan Kapasiti atau Operation Surge Capacity (OCS) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya untuk memberikan keseluruhan populasi dewasa yang telah mendaftar menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Dengan segala usaha yang dilakukan kerajaan untuk menangani penularan wabak pandemik Covid-19 ketika ini, adalah menjadi harapan besar kerajaan agar segala usaha yang dilakukan membuahkan hasil yang positif dan keadaan kembali pulih seperti sediakala secara berperingkat seperti yang direncanakan.

Oleh itu sama-samalah kita mengembeling tenaga dan berkerjasama dalam usaha untuk menangani penularan wabak pandemik ini. Patuhi SOP dan arahan yang dikeluarkan kerajaan, jaga kebersihan dan kesihatan diri serta yang paling utama, daftar untuk menerima vaksinasi dengan kadar segera.

Disamping berusaha, berdoalah kepada Allah SWT. Semoga segala usaha dan doa kita dimakbulkan Allah SWT. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -