Rakyat harus bersyukur pelantikan PM ke-9

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Rakyat di negara ini perlu menerima dengan terbuka kepemimpinan baharu negara di bawah Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membolehkan kerajaan berdepan cabaran pandemik Covid-19.

Mufti Kelantan, Dato’ Mohamad Shukri Mohamad berkata, mereka harus bersyukur kerana pelantikan perdana menteri (PM) ke-9 yang telah selesai dengan baik.

Katanya, umat Islam mesti berpegang teguh kepada perkara yang sudah diputuskan dan sekali gus perlu patuh serta taat.

- Advertisement -

“Selepas suatu keputusan telah dibuat dan jika timbul pertikaian, kita perlu tunduk kepada suara majoriti,” katanya di sini semalam.

Ismail Sabri mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan sebagai perdana menteri daripada Yang di-Pertuan Agong pada Sabtu lepas bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin meletak jawatan ekoran hilang sokongan majoriti selepas 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan terhadapnya.

Mohamad Shukri juga menyambut baik hasrat perdana menteri untuk menjadikan negara Malaysia sebagai konsep Keluarga Malaysia.

“Konsep itu sangat positif yang mana rakyat dapat merasai sebagai satu keluarga besar. Ini membolehkan sekiranya ada apa-apa masalah hendaklah selesaikan secara keluarga.

“Kita juga mendoakan semoga Dato’ Seri Ismail Sabri diberikan kesihatan taufik dan hidayah sekali gus dapat memimpin negara Malaysia dengan baik,” katanya.

Pada sulung baru-baru ini Ismail Sabri menyeru semua pihak supaya bersepakat menyelamatkan ‘Keluarga Malaysia’.

Menurutnya pendekatan Keluarga Malaysia lebih inklusif kerana ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

Mohamad Shukri juga berkata, rakyat harus mendoakan perdana menteri dapat melaksanakan tugas dengan baik bagi memenuhi harapan rakyat, lebih-lebih lagi dalam suasana bencana sekarang.

“Kesihatan dan keselamatan masyarakat perlu diberikan keutamaan serta dijaga. Ketika ini aktiviti keagamaan ditangguh untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada penambahbaikan kesihatan dan ekonomi,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam situasi sekarang rakyat mahu penyelesaian membabitkan isu kesihatan dan perkembangan ekonomi.

Tambah beliau kedua-dua perkara itu juga ada kaitan secara langsung dengan aktiviti keagamaan.

“Sekiranya kesihatan dan ekonomi kembali pulih, maka aktiviti keagamaan juga dapat dipulihkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -