Keluarga Malaysia: Semua pihak ada nilai pada mata kerajaan

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Perutusan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang memperkenalkan pendekatan ‘Keluarga Malaysia’ memberi mesej semua pihak mempunyai nilai pada mata kerajaan.

Menurut Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar, walaupun pendekatan itu dilihat ringkas, namun konotasi yang di bawa Ismail Sabri amat berat.

- Advertisement -

Beliau tidak menolak hakikat bahawa rakyat semakin celik politik dan menganggap tawaran kerajaan berkemungkinan bersifat retorik dan sukar diterima segelintir rakyat.

Justeru itu, beliau mencadangkan Ismail Sabri perlu memanifestasikan gagasan ‘Keluarga Malaysia’ melalui tindakannya.

“Antaranya, adalah dengan memastikan golongan atasan dan bawahan diberi layanan yang sama dari sudut undang-undang, memastikan ekonomi tidak dinikmati oleh sesetengah golongan sahaja, merangka polisi-polisi jangka pendek yang mesra rakyat terbanyak, dan peka pada kesusahan dan keperluan rakyat.

“Gagasan yang dibawa bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menekankan kepada kesederhanaan dan mendahulukan keperluan rakyat perlu menjadi pedoman untuk Perdana Menteri baharu.

“Buktinya Abdullah menang besar dalam Pilihan Raya Umum kesebelas (PRU ke-11) pada tahun 2004,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily pada Isnin.

Selain itu, Dr Wan Rohila turut mencadangkan agar birokrasi jabatan awam dilonggarkan supaya khidmat yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat dapat dimanfaatkan secara penuh.

Tambahan lagi, dengan situasi pandemik Covid-19 hari ini ramai rakyat yang terdesak dan berada di dalam kesempitan, katanya.

“Bantuan daripada kerajaan perlu sampai segera mendahului bantuan daripada badan-badan lain, yang wajib memastikan tiada yang tertinggal dan tercicir.

“Rakyat akan merasa ‘diraikan’ jika bantuan tiba atau dipermudahkan tanpa menjadikan mereka ‘bahan tontonan’ untuk menaikkan nama pemimpin. Cukuplah hampir tiga tahun kita bercakaran berpolitik tanpa henti,” tegas beliau.

Tambahnya, dalam usaha berdepan pandemik dan membina semua ekonomi untuk mengajak rakyat bangkit semula memerlukan gandingan kerajaan, pembangkang dan profesional.

Justeru itu, Dr Wan Rohila berpandangan semua pihak wajar menyambut tawaran Ismail Sabri untuk melontarkan pandangan tanpa rasa curiga.

Ini kerana, beliau yakin kematangan ahli-ahli politik dengan mengenepikan perbezaan ideologi politik dapat mencetus solusi luar biasa seperti yang dibuktikan negara-negara maju. – HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -