‘Jiran perlu peka kesusahan jiran lain’

- Advertisement -

Oleh SHAHERAWATI JUSOH

PAYA BESAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya menyeru penduduk sekitar saling mengambil berat dengan jiran sekeliling dan sentiasa peka dengan ahli-ahli di kejiranan masing-masing.

- Advertisement -

Selain itu beliau juga menasihati penduduk supaya kekal patuh prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Jika ada sesiapa yang dalam kesusahan atau kesempitan, insya-Allah akan ada bantuan yang akan menyusul,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pahang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui HarakahDaily semasa menghadiri program ziarah anggota masyarakat sambil menyampaikan bantuan di sekitar DUN Panching, di Kampung Pandan 1, di sini, pada Isnin.

Ustaz Mohd Tarmizi turut menyampaikan pek makanan Bantuan Prihatin Pahang untuk beberapa keluarga yang memerlukan.

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa prihatin dengan kesusahan rakyat.

Turut hadir membantu, Ahli-Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan Kampung Pandan 1.

Pada 2 Julai, kerajaan negeri Pahang mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM6.03 juta menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19 secara bersasar fasa ketiga bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Melalui BPP fasa satu hingga tiga, kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM23.13 juta dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula sejak 12 Mei lalu.- HARAKAHDAILY 25/8/2021

- Advertisement -