Pengantar Perang Pemikiran

- Advertisement -

LATAR belakang

Secara kasarnya, pemikiran-pemikiran boleh dikatakan bermula di Yunani Greece. Kutub pemikiran terarah kepada dua tokoh utama ialah Plato dan Aristotle. Di zaman kegelapan (Dark Ages) dunia Barat berkutubkan kepada pemikiran Plato. Selepas itu zaman Skolastik kutub pemikiran mereka berubah kepada Aristotle.

Hasilnya, mereka berjaya mencetuskan Reinassance (Kebangkitan Eropah) pada era 15 hingga 17 Masihi. Ketika ini pemikiran bukanlah menjadi satu senjata untuk menyerang Islam. Bukan juga dipasarkan (marketing) sebagai sebuah ideologi. Ia sekadar menjadi panduan bagi masyarakat Barat.

Suasana Barat agak berbeza dengan Dunia Islam. Di awal Khilafah Abbasiah, umat Islam mula terserap dengan pemikiran Aristotle, kemudian di penghujung Abbasiah mula teralih ke arah Plato. Pemikiran-pemikiran itu bukanlah menjadi pasaran dalam Dunia Islam, sebaliknya ada yang dijadikan pengukuh terhadap isi al-Quran dan Hadis. 

Ketika Reinassance berlaku, pemikiran-pemikiran ini bukanlah muncul secara tersusun dalam bentuk ‘move’ atau gerakan. Akan tetapi ia lahir daripada dendam Orang Barat untuk membebaskan diri daripada belenggu gereja sejak sekian lama. Kemudian setelah beberapa puluh tahun atau mungkin ratusan tahun, ia berkembang menjadi aliran.

Di saat pemikiran ini sudah membentuk aliran, barulah muncul gerakan-gerakan untuk menjatuhkan pemerintahan gereja. Setelah itu, muncul pula Revolusi Sains dan Industri, yang menyaksikan perkembangan ilmu sains dan kemodenan. Di saat ini juga skala pertembungan ideologi semakin meluas.

- Advertisement -

Kemunculan Orientalisme

Apabila ada yang bertanya, bilakah bermulanya Perang Pemikiran? Ada pelbagai jawapan. Bagi saya, Perang Pemikiran terhasil daripada jalur Perang Salib (1095-1121 M). Dalam siri-siri perang ini, menyaksikan kemenangan Islam. Lalu melahirkan rasa dendam Kristian yang mendominasi Rom ketika itu terhadap Islam. 

Beberapa tokoh Kristian berfikir bahawa untuk mengalahkan Islam bukanlah dengan melalui perang fizikal, akan tetapi perlunya kepada Perang Pemikiran. Antara tokoh-tokohnya seperti Peter The Venerable (1094-1156). Antara 1141 hingga 1142, beliau telah mengumpulkan para cendekiawan Kristian di Sepanyol untuk memulakan pengkajian mengenai Islam.

Antaranya usaha penterjemahan al-Quran yang dilakukan oleh Robert of Ketton, ke dalam Bahasa Latin. Adian Husaini menyatakan dalam bukunya Hegemoni Kriste-Barat Dalam Studi Islam Di Perguruan Tinggi menyatakan bahawa al-Quran terjemahan itu digunakan ratusan tahun bagi Kristian Rom untuk mengkaji mengenai Islam.

Ini kerana mereka sedar mengapa Islam mempunyai kekuatan yang luar biasa dalam berhadapan dengan Kristian. Mereka mendapati bahawa sumber kekuatan Islam adalah al-Quran dan Hadis. Di sinilah bermulanya gerakan Orientalisme yang mensasarkan serangan-serangan untuk meragukan Islam terhadap dua sumber kekuatan itu.

Gerakan Orientalis bukanlah semata-mata menyerang Islam. Akan tetapi ia lebih kepada pengkajian terhadap dunia ketimuran. Timur dari sudut negara Barat menghala ke arah negara-negara Arab. Dunia Barat yang memandang buruk terhadap Dunia Timur dan kebudayaannya menjadikan banyak kajian mereka bersifat berat sebelah.

Hasil daripada cetusan untuk mengkaji mengenai ketimuran yang didominasi oleh Islam ketika itu, lahirlah generasi orientalis berzaman-zaman. Adakalanya mereka itu bergerak seiringan dengan Imperialisme (penjajahan). Di samping para Imperialis membolot hasil kekayaan bumi yang dijajah dengan bentuk Kapitalisme, terselit para orientalis yang datang untuk mengkaji mengenai Dunia Islam.

Tidak dinafikan, ada orientalis yang memang bermatlamatkan untuk menyesatkan dan memecah belahkan umat Islam melalui kajian-kajian mereka terhadap al-Quran dan Hadis. Ada juga orientalis yang semata-mata ingin tahu mengenai dunia Timur secara akademik, dan tidak bertujuan untuk menyerang Islam pun.

Kajian terhadap Timur

Syeikh Mustafa Siba’ie menyatakan bahawa ada dua punca utama yang mendorong orang Barat untuk mengkaji mengenai dunia ketimuran.

a. Faktor agama dan kejumudan berupa propaganda atau stigma negatif mengenai Islam yang disemarakkan oleh paderi Kristian di kalangan masyarakat Eropah.

b. Faktor politik-kolonial-Imperialisme yang muncul kerana kelebihan yang ada pada negara-negara Timur, dan dorongan untuk menguasai tanah itu.

Kelompok yang merancang untuk menyerang Islam melalui pengkajian mereka terhadap dunia Timur, melahirkan satu move yang dikenali sebagai Perang Pemikiran. Namun, ketika Reinassance berlangsung, mungkin agak sukar untuk kita katakan Perang Pemikiran terhadap Dunia Islam itu sudah bermula secara serius.

Ideologi-ideologi Barat atau Perang Pemikiran mula menyerap dalam Dunia Islam pada peringkat awalnya melalui pelbagai cara. Antaranya;

1. Keraguan yang ditimbulkan oleh para orientalis dalam penulisan penulisan mereka.

2. Intelligent yang ditugaskan untuk mendiami bersama orang Islam dan bermasyarakat dengan mereka.

3. Anak-anak muda Islam yang belajar di dunia Barat. Lantas apabila mereka pulang ke tanah air mereka, mereka angkut sekali ideologi-ideologi Barat ke dalam Dunia Islam.

Faktor-faktor ini bertujuan melahirkan orang-orang Timur yang ber’otak’kan Barat. Turki contohnya yang merupakan pusat kekuasaan Islam ketika itu, turut terkesan dengan agenda ini. Anak-anak muda mereka membawa masuk ideologi Barat ke dalam pemerintahan Islam. Di kalangan mereka, ada yang dinaikkan sehingga menjadi Menteri.

Uthmaniah yang bertapak di Turki semakin hari terpaksa berhadapan dengan gerakan anak muda, Modernisme, dan Sekularisme. Gerakan ini dibawa sendiri oleh anak-anak muda yang terkesan dengan ideologi Barat. Akhirnya ideologi Sekularisme ini menyebabkan runtuhnya Uthmaniah.

Nama-nama seperti Snouck Hugronje bermula dengan mendalami Islam di Makkah, dan seterusnya meneruskan misi memecahbelahkan umat Islam di Acheh. Lawrance Arabia pula antara intelligent yang ditugaskan untuk meniupkan semangat Nasionalisme Arab, sehingga mencetuskan Revolusi Agung Arab, yang menyumbang kepada kejatuhan Uthmaniah.

Weternisasi (Pembaratan)

Serangan pemikiran terhadap Dunia Islam boleh dikatakan bermula dengan usaha Westernisasi (Pembaratan) yang dilancarkan oleh orang Barat. Westernisasi atau Pembaratan bermaksud gerakan yang menyeru kepada kebangkitan berkonsepkan Barat sehingga mengakibatkan terjadinya proses urbanisasi, modernisasi dan sebagainya.

Westernisasi atau Pembaratan adalah misi yang lengkap dengan segala sistem pergerakannya termasuk pelaksanaan berobjektif dan kaderisasi para penggeraknya. Gerakan ini dianggotai oleh pelbagai pertubuhan, yang turut dianggotai oleh Gerakan Orientalisme dan Kristianisasi. Gerakan ini Pembaratan inilah yang menjalankan serangan pemikiran.

Dari sudut lain, Westernisasi juga boleh diertikan dengan proses penjajahan pemikiran. Iaitu, mengubah cara hidup orang Islam, kepada cara hidup Barat atas slogan kemodenan. Budaya Barat, cara berfikir dan sebagainya yang datang dari dunia Barat cuba ditanam di dalam minda umat Islam. Atau dengan kata lain, meleburkan prinsip yang ada dalam jiwa umat Islam. 

Negara-negara Islam yang sudah roboh pasca Perang Dunia Pertama lagi berhadapan dengan isu-isu dalaman. Isu-isu seperti khilaifah, sektarian mazhab dan sebagainya yang menyebabkan kuasa Islam sudah tidak kelihatan pada Perang Dunia Kedua. Pasca Perang Dunia Kedua menyaksikan berlakunya Perang Dingin antara Amerika dan Soviet. Pertembungan kedua-duanya menyebabkan berlakunya persaingan ideologi yang cukup lama. 

Dalam fasa ini, agenda pembaratan masuk ke dalam negara-negara Islam yang dijajah. Budaya-budaya Barat dan cara pemikiran mereka ditanam dalam diri umat Islam. Undang-undang dan sistem berasaskan pemikiran Barat dikuatkuasakan sebagai salah satu bentuk penjajahan. Contohnya menormalisasikan arak, memisahkan mahkamah Sivil dan Syariah, membezakan silibus pendidikan antara agama dan sains.

Sekularisasi ilmu

Syeikh Abdul Rahman Hassan Habannakah di dalam bukunya أجنحة المكر الثلاثة وخوافيها menghuraikan 6 cara bagaimana pemikiran anak muda Islam dijahanamkan. Antara cara yang disebutkan ialah ‘pemisahan ilmu’. Iaitu memisahkan ilmu agama daripada ilmu-ilmu lain yang berbentuk umum seperti sains, matematik, biologi, kimia dan sebagainya.

Mereka yang mendalami ilmu-ilmu umum akan ditaja semahu-mahunya. Manakala mereka yang mendalami ilmu agama disusahpayahkan. Akibat daripada pemisahan ilmu ini, lahirlah Fanatism terhadap aliran masing-masing. Lantas menumbuhkan benih-benih perpecahan. Mereka yang berminat dengan ilmu agama, akan terpisah dengan semua lapangan hidup, melainkan yang berkaitan dengan masjid dan zikir sahaja.

Maka, akan suburlah cara berfikir orang Barat di kalangan masyarakat apabila para agamawan ‘terkurung’ dengan aliran mereka sahaja. Manakala masyarakat akan lebih terkejar dengan ilmu-ilmu umum yang dilihat bukan dari agama. Maka, agama itu hanya dilihat sekadar kepercayaan dan ritual semata-mata. Manakala selebihnya seperti undang-undang, sistem, pemikiran, solusi dan sebagainya mereka akan tercari-cari dari dunia Barat.

Inilah sebahagian strategi Barat untuk menguasai Dunia Islam. Pendidikan merupakan skop yang paling utama dalam pembentukan pemikiran umat Islam generasi masa hadapan. Sebab itulah mereka perlu wujudkan sebuah sistem pendidikan yang berteraskan dasar Sekular. 

Justeru, kita akan saksikan bagaimana umat Islam hari ini walaupun mempelajari Biologi, tetapi tidak kenal Tuhan. Ada yang belajar tentang Fizik, tetapi tidak nampak Metafizik. Pendidikan dijadikan sebagai teras Materialisme yang menutup kekuasaan Allah S.W.T. Di sinilah suburnya pemikiran Barat melalui Westernisasi ke dalam minda umat Islam yang terjajah.

Perang pemikiran hari ini

Realiti hari ini sudah banyak berubah daripada sejarah awal kemunculan Perang Pemikiran. Hari ini, dunia sudah terdedah dengan jaringan tiada sempadan. Sempadan negara semakin ‘diruntuhkan’ sedikit demi sedikit dengan kemunculan internet. Kemudian ia berevolusi melalui IR3.0 kepada IR4.0. Pastinya lebih menguntungkan pengaruh Barat.

Umat Islam perlu sedar bahawa gerakan-gerakan Barat yang sedang dihadapi pada hari ini didukungi dan dilatari oleh ideologi yang berbeza-beza. Bahkan, perang pemikiran hari ini wujud dalam pelbagai dimensi. Ada yang dalam bentuk parti-parti politik, NGO, media, aplikasi, ekonomi dan banyak lagi.

Kalau dahulu, kita dihangatkan dengan agenda Sekularisme, dalam pendidikan, undang-undang, sistem kehakiman, dan sebagainya. Sebagai contoh penetapan sistem Sekular dalam sesebuah negara dilakukan atas pengaruh politik. Kapitalisme pula sudah diterjemahkan dalam bentuk sistem ekonomi dan semakin berkembang sehingga ke peringkat trading, monopoli dagangan dan sebagainya. 

NGO-NGO di negara-negara yang berteraskan kepada konsep demokrasi Barat, berpeluang untuk beroperasi secara bebas untuk mengembangkan pemikiran atau ideologi dukungan mereka. Gerakan atau persatuan mahasiswa juga ada yang diserap dengan pemikiran dan ideologi Barat seperti Anarkisme dan Liberalisme. 

Anarkisme contohnya beroperasi dengan cara menanam kebencian terhadap unsur-unsur Monarki. Liberalisme pula beroperasi dengan cara menanam hak dan kebebasan bersuara. Sudah pastinya medium-medium hari ini seperti Facebook, Twitter dan sebagainya membuka ruang seluas-luasnya untuk sesiapa sahaja bersuara.

Medium seperti Tiktok terang-terang memasarkan Hedonisme yang lebih terarah kepada meruntuhkan moral. Medium-medium yang terbuka ini akhirnya menjadi tapak persaingan ideologi dan pemikiran. Mereka yang berjaya mendominasi medium-medium ini seolah-olah berjaya memasarkan ideologi mereka.

Beginilah gambaran mengenai Perang Pemikiran pada hari ini. Mereka yang berjaya menawarkan idea yang terbaik, atau medium yang terbaik, pastinya akan menarik minat. Lantas, empayar penjajahan pemikirannya semakin luas, dan inilah KPI kepada kejayaan dalam Perang Pemikiran. Bukannya mengejar keluasan tanah jajahan, tetapi mengejar penguasaan terhadap minda manusia.

Soalannya, sejauh manakah Gerakan Islam berjaya memasarkan pemikiran Islam dan idea-ideanya? Sejak dahulu Islam berperanan untuk membebaskan manusia daripada belenggu. Justeru, gerakan Islam pada hari ini perlu lebih terarah kepada membebaskan manusia daripada belenggu pemikiran Barat. Inilah yang perlu difahami.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 24/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100051781123067/posts/330295958706439/

- Advertisement -