PPN wajar diberi keutamaan kerajaan baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sudah kelihatan hasilnya sekarang wajar diteruskan kerajaan baharu di bawah pimpinan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, langkah itu juga selaras dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, tumpuan perdana menteri sekarang termasuk pelaksanaan projek pembangunan dan program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok sebagai agenda yang perlu diutamakan.

- Advertisement -

“Kabinet baru yang bakal dibentuk perlu melengkapkan pelaksanaan PPN yang sudah dirangka.

“Ia sebagai kunci asas yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan. Masa berpolitik sudah berakhir dan kini tiba waktunya semua pihak memberikan fokus kepada penyelesaian krisis kesihatan dan ekonomi,” katanya di sini.

Sabtu lepas Ismail Sabri mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-9 selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan Isnin lepas berikutan kehilangan sokongan majoriti.

Dr Anuar Shah juga berkata, kerajaan perlu menyalurkan bantuan kepada setiap pengguna yang memerlukan aliran wang secara berterusan bagi merancakkan semula ekonomi negara.

Kata beliau kerajaan boleh mempertimbangkan memberi bantuan khas untuk pembayaran tambang bas sekolah bagi Sesi Persekolahan 2022 untuk anak keluarga kategori B40.

Menurutnya langkah itu secara tidak langsung dapat membantu keluarga B40 yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Selain itu, beliau berkata, inisiatif tersebut membantu pengusaha bas sekolah melalui pengkreditan bayaran tambang bas untuk anak keluarga B40 yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah.

“Melalui kaedah itu kerajaan dapat mengembalikan ekonomi negara di landasan tepat selepas negara hampir dua tahun berdepan dengan penularan wabak,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/8/2021

- Advertisement -