Kerajaan baharu harus keluar dari bayangan kleptokrat

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kerajaan baharu harus keluar daripada bayangan kleptokrat, kata Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Dr Ilyas Abdullah berkata.

Menurutnya, sebuah kerajaan baharu mestilah menampilkan imej yang lebih idealistik, bersih dan menjunjung integriti yang tinggi.

Hal ini kerana beliau berpendapat bahawa kualiti sedemikian mampu menjadi sandaran berguna dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, katanya ketika dihubungi HarakahDaily, semalam.

- Advertisement -

Pada Khamis, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataannya menegaskan bahawa sokongan Perikatan Nasional (PN) kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan Naib Presiden Umno adalah bersyarat.

Antara syarat yang diletakkan adalah Ismail Sabri hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Mengulas berhubung pra syarat yang dilontarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak bersengkokol dengan Ahli Parlimen yang mempunyai kes jenayah itu, kata Ilyas, ia merupakan amalan dan praktis biasa.

Ini kerana, secara kelazimannya Jemaah Menteri yang bakal dilantik akan melalui proses tapisan bagi memastikan semua calon adalah bebas daripada salah-laku.

“Polemik sedemikian tidak harus dipanjangkan oleh mana-mana pihak sama ada dari dalam dan juga luar parti komponen PN bertujuan kerana boleh memicu kemelut politik yang baharu.

“Ini kerana tiada satu pun parti yang mempunyai majoriti yang mencukupi. Maka tidak timbul sama sekali isu Umno menguasai kerajaan.

“Sekiranya Bersatu atau PAS bertindak menarik sokongan, kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri (Umno) juga berpotensi untuk tumbang,” katanya.

Tambah beliau, dalam situasi berbaki kurang daripada dua tahun sebelum PRU ke-15, beliau berharap semua parti politik dapat menjayakan prinsip kebersamaan meskipun dalam persekitaran berseteru demi kepentingan rakyat.

Ujarnya, semua pihak turut mengharapkan agar kerajaan yang dipimpin oleh Ismail Sabri dapat menampilkan lebih ramai Menteri Kabinet wakil dalam kalangan wanita.

Hal demikian kata Dr Ilyas, sedikit sebanyak dapat memperkasakan politik wanita selain dapat mengendurkan ketegangan perbahasan dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat sekali gus mampu membuahkan hasil perbahasan yang berkualiti.

“Kerajaan juga boleh melantik ahli kabinet dalam kalangan golongan profesional dan juga teknokrat yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing.

“Perdana Menteri baharu juga tidak harus meminggirkan Ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak ke jawatan Kabinet.

“Pelantikan tersebut mampu merealisasikan hasrat kerajaan terdahulu untuk melihat wilayah Sabah dan Sarawak mampu sekata dan seiring dengan kerajaan Persekutuan dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 dan juga hal bersangkutan dengan pembangunan sosio ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau lagi, pihak pembangkang juga berpeluang bersama berusaha menjadikan perbahasan Parlimen kali ini sebagai medan memasarkan kualiti mereka bagi memenangi semula hati rakyat.

Katanya lagi, meskipun secara perlembagaannya kerajaan boleh ditubuhkan menerusi persetujuan Ahli-ahli Parlimen, sementara rakyat hanya memilih wakil mereka sahaja, namun praktis tersebut telah meletakkan negara berada dalam satu situasi yang tidak stabil berikutan ketidakjelasan soal perlembagaan dan juga sentimen yang sering diulang-ulang oleh ahli politik. – HARAKAHDAILY 21/8/2021

- Advertisement -