Komitmen terhadap syarat disokong sepenuhnya – Balendran

- Advertisement -

Oleh NUR HASMIRA MOHAMAD

KUALA LUMPUR: Syarat yang ditegaskan Perikatan Nasional (PN) untuk menyokong Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri membuktikan ketelusan dan integriti PN yang dipertahankan sepanjang pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Ketua Pemuda Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) Balendran Balasubramaniam amat bersetuju syarat tersebut dilaksanakan ke atas pemilihan Ahli Jemaah Kabinet Ismail Sabri sekiranya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantiknya sebagai Perdana Menteri kesembilan.

- Advertisement -

“PAS sentiasa berpegang kepada dasar seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah melalui proses mahkamah.

“Dalam hal ini, syarat yang dikenakan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali gus dapat menghalang persepsi rakyat yang bimbang campur tangan proses prosiding di mahkamah membabitkan beberapa wakil rakyat dari Umno yang menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

“Undang-undang bukanlah hanya perkara yang ditulis atas buku, malah adalah satu perkara yang perlu dilaksanakan secara adil tanpa mengira darjat dan pangkat.

“Rakyat perlu dibuktikan dengan pengendalian kes-kes yang membabitkan pemimpin supaya dibicara secara adil dan telus,” ujar Balendran kepada Harakah pada Khamis.

Sehubungan itu katanya, Pemuda DHPP menyokong sepenuhnya komitmen terhadap syarat yang dikenakan kepada bakal Perdana Menteri kesembilan itu supaya hasrat PN untuk kekalkan kerajaan berintegriti dan berkredibiliti dilestarikan.

Pada Rabu lepas, gabungan PN yang terdiri daripada Bersatu, PAS, Bebas dan STAR menyatakan sokongan terhadap Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri melalui akuan bersumpah yang diserahkan kepada Sultan Abdullah.

Muhyiddin menekankan tiga syarat utama terhadap pemilihan jemaah kabinet Ismail Sabri sekiranya beliau diperkenan Sultan Abdullah.

Syarat tersebut menyebut anggota yang dipilih bebas daripada pertuduhan jenayah di mahkamah, berintegiri dan beramanah. – HARAKAHDAILY 20/8/2021

- Advertisement -