Ahli Parlimen Jerai hulur bantuan awal

- Advertisement -

YAN: Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit meluahkan perasaan sayu melihat banyak kerosakan harta benda yang berlaku akibat banjir kilat di sekitar kawasan Jerai petang semalam.

Katanya difahamkan kejadian tersebut merupakan yang terburuk pernah berlaku dalam sejarah di Yan.

Kata beliau banyak rumah penduduk rosak, jalan rosak teruk sehingga ada jalan yang terpaksa ditutup sementara waktu.

- Advertisement -

“Ada kenderaan yang musnah disalut lumpur. Air deras membuatkan kediaman penduduk dimasuki air. Allahuakbar sungguh tidak senang saya memikirkan nasib penduduk di kawasan tersebut.

“Bantuan juga telah disalurkan. Terima kasih diucapkan kepada kakitangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jerai yang turun padang dengan cepat,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Menurutnya juga bantuan kewangan telah dihulur untuk membolehkan kawasan yang terjejas teruk bergotong royong menyediakan makanan untuk diedarkan kepada penduduk.

Empat lokasi utama terlibat menyediakan makanan iaitu Surau Gurun Jaya, Sg Badak, Taman Seri Utama dan Teroi.

Sabri juga merakam ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor yang datang secara mengejut malam tadi. Selain itu Adun Sungai Limau Ustaz Azam Samat turut turun padang.

“Semoga penduduk semua dapat menjaga diri dan ahli keluarga masing-masing. Belum reda dengan wabak Covid-19 datang pula ujian ini. Yakinlah pasti ada hikmah terbesar menanti,” katanya.

Beliau juga mempelawa orang ramai turut membantu mangsa banjir terbabit dengan menghantar sumbangan melalui Bank Muamalat – akaun 02010005876716
(Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jerai).

Kata Sabri sila tuliskan ‘Banjir Kilat’ di bahagian rujukan ketika transaksi supaya memudahkan pihaknya membuat rujukan. – HARAKAHDAILY 19/8/2021

- Advertisement -