Rakyat harap PM baharu prihatin rakyat

Peniaga, Marzuki Ismail
- Advertisement -

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Rakyat berharap Perdana Menteri baharu yang bakal menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pemimpin yang prihatin terhadap pelbagai masalah rakyat serta dapat memastikan usaha menangani penularan wabak Covid-19 sekarang dapat diperhebatkan.

Tinjauan HarakahDaily di beberapa Kawasan sekitar ibu negara hari ini, mendapati orang ramai memberikan pelbagai pandangan supaya sesiapa sahaja yang dilantik serbagai Perdana Menteri menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai agenda utama.

- Advertisement -

Peniaga, Marzuki Ismail, berkata Perdana Menteri baharu mesti memimpin kerajaan yang dapat melaksanakan dasar dan program yang dapat memulihkan ekonomi negara dengan lebih pantas, sekali gus memastikan rakyat bebas dari pelbagai masalah seperti peningkatan kos kehidupan.

“Saya amat sedih apabila Muhyiddin membuat keputusan untuk meletakkan jawatan kerana majoriti rakyat masih menyukai beliau. Sepatutnya, beliau terus memimpin negara pada waktu kritikal ini, tetapi keputusan telah dibuat. Walaupun sedih, saya menghormati keputusan itu,” katanya.

Sehubungan itu, Marzuki berharap pemimpin baharu negara dapat segera dipilih dan meneruskan agenda Muhyiddin yang dianggapnya banyak memberi manfaat kepada rakyat.

Suri rumah, M Menakadewi

Sementara itu suri rumah, M Menakadewi, berkata keutamaan sekarang ialah Perdana Menteri baharu perlu memastikan penularan wabak Covid-19 dapat ditangani dengan lebih cepat bagi memulihkan ekonomi negara.

“Saya ingin mencadangkan kepada pemimpin baharu negara supaya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebjh ketat seperti yang pernah dilaksanakan pada fasa awal PKP tahun lalu.

“Tidak salah PKP ketat diadakan selama 2 minggu supaya penularan wabak ini dapat dikawal dengan lebih pantas, terutama untuk mengurangkan kes positif baharu dan juga kematian,” katanya.

Isnin lalu, Muhyiddin menyerahkan warkah peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri mengikut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan disebabkan kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Muhyiddin sebelum ini mencadangkan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun tindakan 15 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan kepadanya dan cadangan kerjasama rentas parti ditolak pembangkang menyebabkan beliau membuat keputusan meletakkan jawatan.

Sementara itu, Azman Abdullah, berharap Muhyiddin dapat kembali semula sebagai Perdana Menteri walaupun menyedari bahawa beberapa nama pemimpin lain turut berpotensi dipilih sebagai Perdana Menteri baharu.

Azman Abdullah

Katanya, Muhyiddin adalah Perdana Menteri yang prihatin terhadap rakyat berdasarkan pelbagai bantuan yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) berikan.

“Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negara. Tempohnya menjadi Perdana Menteri selama 17 bulan sebenarnya tidak mencukupi untuk kita menilai keberkesanan pentadbirannya. Apa boleh buat, beliau sudah membuat keputusan meletakkan jawatan, tapi saya masih berharap Muhyiddin dapat kembali semula,” katanya.

Azman juga menyelar gelagat segelintir pemimpin yang hanya mengejar pangkat dan kuasa serta tidak menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat perjuangan.- HARAKAHDAILY 18/08/21

- Advertisement -