MB nafi banjir berpunca daripada pembalakan

- Advertisement -

YAN: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan kononnya kejadian banjir di kaki Gunung Jerai berpunca daripada aktiviti pembalakan.

Katanya, Hutan Simpan Gunung Jerai telah diwartakan sebagai Hutan Perlindungan dan tiada aktiviti pembalakan di kawasan itu.

- Advertisement -

“Kejadian banjir petang tadi berpunca dari fenomena kepala air yang berlaku di puncak gunung berkenaan akibat hujan lebat berterusan.

“Tiada kaitan dengan aktiviti pembalakan sebagaimana yang ditular di media sosial,” jelasnya dalam satu kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp malam ini.

Katanya lagi, beliau mendapat laporan kira-kira jam 5.30 petang tadi beberapa buah kampung berhampiran sungai telah dilanda banjir.

Perkara itu berlaku berikutan hujan lebat yang berterusan di kawasan Gunung Jerai, dan air mengalir laju turun ke kaki gunung melibatkan Sungai Kunyit, Sungai Teroi dan Sungai Puteri Mandi.

Berikutan itu beliau dan beberapa yang lain hadir ke bilik gerakan, Pejabat Daerah Yan untuk mendengar taklimat kejadian. – HARAKAHDAILY 18/8/2021

- Advertisement -