Kerajaan PN perkasa sistem perundangan syariah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seperti sireh pulang ke gagang apabila seorang bekas mufti dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Mungkin sejarah pertama di negara kita.

Dato’ Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri sebelum ini dikenali sebagai ulama yang tawaduk. Popularitinya dikenali ramai ketika berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.

Namun tiada siapa pun jangka beliau tiba-tiba dilantik sebagai menteri era kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Senator Dr Zulkifli menerajui kementerian terbabit dengan dibantu ahli parlimen Pengkalan Chepa Dato’ Ahmad Marzuk Shaary.

- Advertisement -

Biarpun perkhidmatan lebih 17 bulan mereka berjaya melaksanakan perubahan terutamanya memperkasakan sistem perundangan syariah di negara ini.

Antaranya meneruskan Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah termasuk mengubal empat akta baharu dan meminda tujuh akta sedia ada.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengubal empat akta tersebut seperti Rang Undang-undang (RUU) berkaitan dengan Wakaf, RUU Mufti, RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam dan RUU Mahkamah Syariah.

Selain itu, pindaan membabitkan tujuh akta sedia ada seperti RUU Pentadbiran Undang-undang Islam, RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), RUU Keterangan Mahkamah Syariah dan RUU Tatacara Jenayah Syariah.

Seterusnya RUU Keluarga Islam, RUU Kesalahan Jenayah Syariah dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah turut berjaya dipinda sepanjang pentadbiran tersebut bagi memperkasakan sistem perundangan syariah.

Menteri Hal Ehwal Agama juga memperngerusi task force mengenai lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) yang melibatkan pelbagai kementerian bagi merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) aspek penguatkuasaan.

Ternyata kerajaan PN tegas terhadap isu yang membabitkan sensitiviti umat Islam termasuk isu LGBT, kalimah Allah, Nabi Muhammad s.a.w sehingga jenayah liwat.

Tindakan tegas juga diambil bagi membendung masalah sosial termasuk aktiviti Sugarbook dan pekerja seks.

Kementerian Agama juga melakukan inisiatif menyelaraskan undang-undang sivil dan syariah di Malaysia menerusi penganjuran Sidang Meja Bulat Pengharmonian Undang-undang bersama pakar kedua-dua perundangan itu.

Tidak ketinggalan juga usaha bagi memperkasakan semula peranan Tabung Haji. Usaha dilakukan dengan cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji bagi melihat kembali pengurusan dan operasi agensi itu.

Dalam pada itu dakwah terhadap masyarakat Orang Asli di negara ini tetap diteruskan kerajaan PN dengan memberi tumpuan kepada penambahbaikan kerja kebajikan khususnya Pengerak Masyarakat Orang Asli (PMOA).

Bahkan ketika pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai rakyat yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kementerian terbabit menggerakkan Tabung Bantuan Musaadah Covid-19 dengan kerjasama institusi zakat.

Sebanyak RM591.9 juta diagihkan bermula Mac 2020 hingga sekarang melalui inisiatif dilaksanakan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (Yadim) dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 18/8/2021

- Advertisement -