Dr Radzi Jidin lonjak kualiti pendidikan negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pendidikan Dato’ Dr Mohd Radzi Jidin memberitahu menguruskan kementerian itu ketika pandemik Covid-19 bukan sesuatu yang mudah.

Katanya, tiada sesiapa pun di Kementerian Pendidikan atau di tempat lain yang pernah melalui situasi pandemik seperti yang berlaku sekarang.

Menurutnya juga semua dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan tidak pernah melalui situasi seperti sekarang sehingga sentiasa berikhtiar mencari penyelesaian terbaik.

Kata beliau masing-masing berusaha sehabis baik untuk memastikan anak-anak murid dapat terus belajar dalam keadaan selamat.

- Advertisement -

Sebab itu kata beliau pihaknya amat teliti dalam membuat sebarang perancangan. Setiap keputusan dibuat berdasarkan perbincangan secara mendalam selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

“Secara peribadi saya merasakan bahawa setiap detik di kementerian dalam tempoh 18 bulan dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik demi generasi pewaris negara.

“Banyak perkara tunjang di kementerian yang berlarutan bertahun-tahun lamanya dapat diselesaikan. Sebahagiannya sedang diselesaikan.

“Tidak kira sama ada secara bersemuka atau Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR). Apa yang penting murid terus mendapat akses kepada pendidikan,” katanya pada perkongsian di media sosialnya.

Menurutnya juga beliau berusaha menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan di kementerian terbabit sehingga banyak penambahbaikan telah dan sedang dilaksanakan.

“Insya-Allah sekiranya segala perancangan dan usaha yang ditinggalkan dapat diteruskan sebaiknya, kita boleh melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap yang jauh lebih tinggi,” ujarnya.

Dr Mohd Radzi juga berkata, beliau berada di Kementerian Pendidikan bukan untuk menjadi popular.

Sebaliknya apa yang dilakukan melaksanakan perkara dengan mengambil kira data dan maklumat yang ada serta analisis dibuat.

“Allah akan membuka jalan untuk kita. Ada yang dicapai dalam masa yang singkat dan ada yang mungkin memerlukan masa yang lebih panjang.

“Sekiranya apa yang telah diikhtiar dengan terbaiknya itu tidak berjaya seperti yang dihasratkan, tentu ada hikmah di sebaliknya. Apa pun, saya selalu berpesan kepada warga Kementerian, Nothing beats hard work!,” tambahnya.

Kata beliau sebagai anak kampung yang merantau ke luar negara hampir 20 tahun, kembali ke tanah air dengan niat semata-mata untuk menabur bakti kepada ibu pertiwi.

Menurutnya amanah mengemudi kementerian itu dipikul dengan ikhlas tanpa sekelumit niat lain selain daripada melihat kualiti pendidikan negara dapat dilonjakkan ke peringkat lebih tinggi. – HARAKAHDAILY 18/8/2021

- Advertisement -