Muhyiddin disenangi tidak amal budaya politiking

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Rekod cemerlang kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih Putrajaya daripada Pakatan Harapan (PH) pada awal Mac 2020, rupanya menimbul perasaan cemburu pihak lawan.

Pihak terbabit cuba mengganggu pentadbiran kerajaan PN dengan melemparkan pelbagai momokan antaranya kerajaan gagal.

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim berkata, pihak terbabit tidak pernah duduk diam dengan mencetuskan pelbagai kemelut sehingga mengundang krisis politik.

- Advertisement -

“Saya berharap kemelut yang berlaku sekarang segera menemui jalan penyelesaian memandang negara kita masih berhadapan dengan pandemik Covid-19,” kata beliau ketika dihubungi di sini.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, kecemerlangan itu membolehkan Tan Sri Muhyiddin Yaasin dilantikan sebagai perdana menteri sementara ‘caretaker’ kerana kewibawaannya.

Malah katanya banyak pihak menyenangi perdana menteri kerana beliau tidak mengamalkan politiking dan mampu menerajui negara dengan baik.

“Bagi saya kerajaan PN masih relevan dipertahankan bagi kembali menerajui Malaysia selepas berjaya melandaikan pandemik Covid-19.

“InsyaAllah parti-parti yang berada dalam PN sedang berunding bagi mencari jalan penyelesaian mengatasi kemelut yang berlaku supaya kerajaan PN dapat berfungsi semula,” ujarnya.

Menurutnya juga konsensus dan persetujuan bersama parti-parti yang berada di bawah PN dijangka dapat menyelesaikan kemelut politik yang berlaku sekarang.

Semalam Muhyiddin menghantar surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong selepas hilang sokongan majoriti ekoran 15 ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya.

Awang turut mengucap jutaan terima kasih kepada seluruh kakitangan awam terutamanya di Kementerian Sumber Manusia di atas kerjasama yang diberikan sepanjang berkhidmat sebagai timbalan menteri.

“Saya juga ucap penghargaan kepada pengundi di parlimen Pendang yang sentiasa memberi sokongan padu terhadapnya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 17/8/2021

- Advertisement -