Istana Negara jadi tumpuan petugas media

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Istana Negara hari ini sekali lagi menjadi tumpuan puluhan petugas media yang sejak pagi tadi menunggu perkembangan pertemuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dengan Yang di-Pertuan Agong yang dijadualkan pada hari ini.

Pun begitu, Harakahdaily dimaklumkan bahawa Muhyiddin kini sedang bermesyuarat bersama anggota kabinetnya di Pejabatnya di Putrajaya sejak jam 8 tadi.

- Advertisement -

Kenderaan yang membawa Muhyiddin dikatakan masuk ke Pejabat PM pagi ini dan dikhabarkan selepas mesyuarat itu beliau akan ke Istana Negara.

Mengikuti perkembangan suasana di Istana Negara pada pagi ini, anggota polis dilihat sedang menyusun atur kawalan keselamatan.

Di laluan pintu masuk 1 Istana Negara mula disekat anggota keselamatan.

Sementara itu, petugas media sedang bersiap sedia menanti ketibaan Perdana Menteri ke Istana Negara yang dijangka tiba sebelum tengah hari nanti.

7.42 pagi – Kenderaan membawa Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar dari kediamannya di Jalan Setia Bakti, Bukit Damansara

8.06 pagi – Kenderaan membawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Perdana Putra bagi perjumpaan pegawai tertinggi kerajaan dan mesyuarat khas Kabinet.

8.10 – Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memasuki bangunan Perdana Putra.

8.29 – Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun memasuki bangunan Perdana Putra.

9.30 – Kenderaan-kenderaan yang membawa menteri mula memasuki Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pukul bagi menghadiri Mesyuarat Khas Kabinet yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara yang dilihat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri MOSTI Khairy Jamaluddin dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali.

9.45 pagi – Kenderaan membawa Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul memasuki bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

9.47 pagi – Kenderaan membawa Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi tiba di bangunan Perdana Putra.

10.00 pagi – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Perdana Putra pukul 10 pagi untuk menghadiri Mesyuarat Khas Kabinet. – HARAKAHDAILY 16/8/2021

- Advertisement -