Mengenang sahabat seperjuangan yang istiqamah, Khairul Anuar Manaf

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

- Advertisement -

INSAN yang hebat ialah apabila meninggalkan alam ini namun akan terus diingati oleh manusia kerana kebaktiannya menyebar kebaikan dan pandai menyimpul ukhuwwah antara manusia. Jasanya dikenang dan terus disebut insan lain kerana menjadi lantera yang menyuluh kegelapan jahiliah. Temanku Haji Khairul Anuar Abdul Manaf, Yang Dipertua PAS Titiwangsa yang juga Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan telah kembali ke alam abadi jam 8.00 pagi hari ini. Terbayang sosok yang sentiasa ceria dan berdisiplin dalam melaksanakan kerja jamaah, sebahagian besar masa mudaku diisi dengan program bersama arwah dalam Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Insan ini adalah contoh keteladanan yang baik  dalam perjuangan Islam, beliau alumni UiTM dan seterusnya melanjutkan pendidikan di bumi penjajah. Alumni Strathclyde Universiti Glasgow yang terlibat dalam Hizbi Islami UK. Almarhum dengan postur badan yang berisi namun ringan tulang dalam kerja-kerja jamaah.

Pulang ke tanah air, beliau dan rakan-rakan alumni terlibat dengan Dewan Pemuda Kawasan Titiwangsa dan juga Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan. Lama juga arwah membantu saya dalam organisasi pemuda Wilayah Persekutuan sehinggalah saya melepaskan jawatan itu untuk menyambung pengajian di peringkat doktorat.

Mesej ringkas daripada Ustaz Mad Khairol, juga SUK PAS Pusat mengkhabarkan kepulangan Khairul Anuar ke rahmatullah seperti percikan petir yang menggoncang sukma. Terasa ralat kerana tak sempat menziarahi bertanya khabar dengan musim pandemik yang panjang sejak awal Mac tahun lepas. Program paling akhir bersama anak jati KL ini sebelum pandemik, Saya berkuliah di Markas PAS Titiwangsa dan kami menikmati kudapan bersama sambil mengimbau kenangan di dalam gerakan kepemudaan.

Kuala Lumpur pasca reformasi 1998 adalah jantung Kota yang berbeda dengan sebelumnya. Kota yang diasaskan oleh Sultan Puasa dan masyarakat Mandailing ini berkembang dengan peredaran zaman sebagai pusat pemerintahan, pusat fesyen dan tadahan budaya. Gerakan Reformasi 1998 telah menggegarkan Kuala Lumpur dengan menjadi pusat tumpuan isu politik negara, anak muda mula menunjukkan kecenderungan yang tinggi untuk berpartipasi dengan gerakan politik. Khairul Anuar bukan lahir daripada sentimen arus politik popular, Allahyarham bergiat aktif dengan perjuangan Islam semasa belajar di dalam kampus UiTM Shah Alam, rakan seangkatannya seperti YB Haji Zuraidin, Haji Khairul Fahmi (Penolong Setiausaha PAS Pusat). Beliau seterusnya bermukim ilmu di UK, juga aktif bersama gerakan pelajar Islam UK.

Semasa menjawat jawatan Setiausaha DPP Wilayah Persekutuan, beliau adalah motor yang menggerakkan enjin pemuda Wilayah, menganjurkan himpunan Pemuda Wilayah Persekutuan atau HARAP, menggerakkan tamrin perkaderan pemuda Wilayah dan kawasan-kawasan di pelbagai lokasi, menganjurkan ceramah-ceramah politik di Taman Melewar kerana beliau juga pernah menjadi Ketua Penerangan Pemuda Wilayah Persekutuan.

Awal milinea, usaha perkaderan dakwah semakin mencabar kerana munculnya isu gerakan Al Maunah dan tangkapan KMM di bawah ISA. Lokasi tamrin dan mukhayyam juga diintip oleh pasukan keselamatan dan Allahyarham sangat berhati-hati dalam mengatur program. Watak beliau dimaklumi oleh kawan-kawan dalam pemuda Wilayah, seorang pemurah dalam membina ukhuwwah. Menjadi tradisi kami, usai bermesyuarat jam 12 malam akan mencari kedai makanan untuk mengalas perut. Khairul Anuar Abdul Manaf akan melunaskan bayaran makan bahkan selalu menjemput kawan-kawan ke kedai makan bapanya di Titiwangsa.

Bapa yang prihatin ini kelihatan sangat menyayangi puterinya, dalam kesibukan berprogram sentiasa menelefon puterinya bertanya khabar, tak gagal membungkus makanan untuk puterinya di rumah bila kami makan usai program.

Bagiku insan ini tak terhitung baktinya kepada medan amal Islami di tanah air ini walaupun orang awam kurang mengenali namanya atau kerana bukanlah pemidato yang mempunyai kepetahan pidato yang membakar api semangat. Kepakaran beliau ialah dalam mengurus organisasi, tak pelik jika sosok ini dilantik sebagai Pegawai Khas Menteri Komoditi.

Jam 8.00 pagi hari ini almarhum telah pulang ke negeri abadi setelah mengadakan pembedahan jantung di KPJ Ampang Puteri. Kawan-kawan alumni kampus mengadakan majlis doa selamat sebelum pembedahan beliau namun Allah lebih sayangkan insan ini. Selama 21 tahun beliau memegang pelbagai jawatan penting dalam PAS Wilayah Persekutuan dan kawasan Titiwangsa, sahabat ini mampu mengikat dan menjinakkan hati kita semua supaya terus menerjang badai perjuangan dan jangan berpaling tumit. Beliau adalah arca yang berdiri!

Selamat jalan sahabatku Haji Khairul Anuar Abdul Manaf (48 tahun). Untaian kata-kata gurauan serta nasihatmu tetap kami sematkan di relung dada kami, kami akan terus menggalang tugas dakwah ini… Al-Fatihah. – HARAKAHDAILY 14/8/2021

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -