Kes tembak di kem TUDM, waris telah dimaklum

- Advertisement -

KUCHING: Kesemua waris anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam insiden tembakan di kem TUDM, Kota Samarahan pagi tadi, telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini TUDM memaklumkan, anggota yang terkorban ialah Kpl U Mohamad Ehsan Sehamat, Kpl U Ho Swee Boon, Laskar Udara (LU) Luk Nesly anak Nabau dan Kpl U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli.

“Kesemua mereka yang meninggal dunia berasal dari Sarawak dan telah berkahwin.

- Advertisement -

“Kpl U Mohammad Ehsan Sehamat berasal dari Asajaya Laut, Samarahan; Kpl U Ho Swee Boon berasal dari Lundu; Kpl U Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli berasal dari Seniawan, Bau dan Nesly Anak Nabau berasal dari Sibu,” menurut kenyataan tersebut.

TUDM juga meminta semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi mengenai insiden tembakan itu, kerana kes tersebut kini dalam siasatan pihak polis.

“Kita minta semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh pihak polis selesai, di samping menghormati sensitiviti waris dan keluarga anggota yang meninggal dunia,” menurut kenyatan itu lagi.

Sementara itu TUDM memaklumkan, Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad telah pergi ke lokasi kejadian di kem Skuadron 330, Kota Samarahan petang tadi, untuk mengetahui sendiri dan meninjau dengan lebih jelas kejadian insiden berkenaan.

“Panglima Tentera Udara turut menyantuni dan bertemu dengan waris-waris anggota, serta menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga kesemua anggota TUDM yang meninggal dunia.

“Beliau turut menyampaikan sumbangan dari Tabung Kebajikan TUDM dan sumbangan bantuan kebajikan kepada waris terlibat. Pihak TUDM sedang membuat segala urusan berkaitan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris anggota,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

- Advertisement -