Berhenti di sini sebelum sayu menanti

- Advertisement -

Oleh AZAMIN AMIN

SEBENARNYA, untuk mengutip kembali memori, bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi untuk dinukilkan di atas tinta, yang dibaca semua. Apatah lagi, menggarap secara perlahan-lahan sambil menahan air mata tumpah berlinangan.

Berat juga tanggungannya, namun digagah jua, membelek satu-persatu untuk dijadikan santapan dan suntikan semangat juang di kala manusia sedang ternanti dari segala pelusuk bumi kerana dahagakan motivasi nan tinggi.

Saat getir kini, apa jua yang boleh memberi harapan dan sinar cahaya, pasti tanpa peduli apa jua risiko, tiada galang-ganti, manusia sedang diuji ke dasar titik yang paling bawah mesti sedaya upaya mencari, demi menyelamatkan nyawa daripada dijangkiti sekaligus melapik perut sesuap nasi.

- Advertisement -

Ada yang tak pernah, turun berniaga nasi lemak di kaki jalan tebalkan muka tampung pendapatan. Asal pengurus hotel, kini memandu kereta sewa. Yang pernah memandu di angkasa, sekarang menjual burger di kaki lima.

Lebih pedih lagi ramai yang terpaksa menjatuhkan maruah meminta-minta demi keluarga. Bukan sedikit, bayangkan sejumlah lebih 800,000 orang sudah kehilangan kerja sejak wabak menggila ini melanda, angka kini barangkali sudah mencecah juta.

Oleh itu, bak kata pepatah “…tak kena, jangan mengata. Jika terkena, doa sahajalah dipinta…” usah diremehkan segala usaha yang dilakukan untuk menyelamat dunia dan manusia.

Bemula daripada Raja, pemerintah negara, kerajaan, swasta, NGO, parti politik,hartawan, ahli perniagaan, pembangkang hatta penjahat sekalipun sehinggalah ke ceruk hulu hutan pedalaman. Berhenti. Berhentilah di sini.

Berhenti daripada apa jua kepentingan peribadi. Lebarkan kasih sayang. Cebiskan sifat perikemanusiaan. Hulurkan secebis bantuan kepada mereka.

Mereka itu adalah seorang ayah yang kehilangan kerja, barangkali seorang ibu yang jadi balu secara tiba-tiba, seorang anak kecil yang ditinggalkan sepantas kilat oleh ibu bapa yang dijemput Illahi.

Kemungkinan di sana, seorang pekerja yang sedang merancang untuk menggantung diri, seorang pelajar yang bergelumang tekanan emosi, seorang penyewa yang bakal dihalau oleh tuan rumahnya, kerana tuan rumahnya itu juga terpaksa menjual segala harta untuk menampung keluarga.

Bukan wang semata-mata. Cukuplah sekadar sekuntum senyuman dan sepotong doa untuk tanda memberi sokongan, jika itu sahaja yang mampu dilakukan.

Pinjamkan telinga, untuk mendengar keluhan mereka. Tidak perlu tazkirah panjang atau mengecam mengata mereka kurang iman. Diam dan dengar sahaja. Cukup. Sekurang-kurangnya mereka tahu, di kala kesusahan, Allah ‘mengirimkan’ kita untuk menemani mereka. Allah sayang semua.

Sokonglah dan hargailah, mereka yang melakukan tugasan, sekatan, memberi rawatan atau apa-apa kerja yang dinamakan barisan hadapan, kerana jauh di sudut hati mereka setiap hari juga, bergelumang perasaan, mohon agar diri dilindungkan, agar tidak terkena jangkitan yang memilukan seperti yang mereka hadapi di depan mata setiap masa.

Berhentilah di sini. Rasuah. Mencuri. Tipu. Scam. Hisap dadah. Buat maksiat, berfoya-foya atau apa jua jenayah. Lebih-lebih lagi bertelagah. Maki, dengki, khianat, gurau melampau, hina dan aniaya.

Agamawan, penceramah, ‘influencer’, selebriti, tokoh ternama, pemimpin parti, netizen, marhaen sehinggalah mereka dulunya suka sembang di kedai kopi. Berhenti.

Bukan masanya kini untuk menuding jari atau mendongak langit tinggi meskipun angka korban masih kecil daripada populasi. Usah jadikan penyesalan letak duduknya di belakang namun jadilah ‘kematian itu satu peringatan’. Berhenti di sini sebelum sayu menanti.

Maaf saya sekadar menitipkan, bukan mendabik dada atau menunjuk kelaku pandai kepada semua terutama pembaca. Maaf saya telah laluinya seketika.

Kehilangan nyawa tiga anggota keluarga orang rumah saya, tiga anggota keluarga angkat yang pernah menjaga saya, serta seorang pensyarah universiti pengajian kaunseling saya dan guru sekolah saya, sesungguhnya sesuatu yang sangat-sangat hiba. Saya takkan lupa meskipun sudah kering air mata.

(Penulis adalah Penolong Pengarang Berita yang sedang melalui fasa-fasa yang sukar sama seperti yang lain juga namun percaya di hujung terowong gelita pasti ada cahaya, dipancar Allah jua)HARAKAHDAILY 13/8/2021

- Advertisement -