PUM gesa hormati titah Agong, Sultan

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dato’ Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir mengajak seluruh rakyat Malaysia terutama para pemimpin parti-parti politik menghormati titah nasihat yang disampaikan oleh Raja-Raja Melayu demi kestabilan pentadbiran negara.

Beliau berkata demikian mengulas titah nasihat beberapa Sultan Negeri-Negeri yang memberikan pandangan terhadap keadaan semasa politik di tanah air.

Antaranya adalah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang menzahirkan rasa kecewa baginda terhadap pemimpin partik politik yang sentiasa memberikan tekanan untuk merebut kuasa dengan cara yang sedikit sebanyak mengganggu pentadbiran kerajaan.

Kemudian, titah Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah juga turut menzahirkan perkara hampir sama di mana baginda berpendapat sekarang bukanlah masa sesuai untuk berebut kuasa dan bersengketa sesama sendiri ketika negara bergelut pandemik Covid-19.

Kata Abdul Halim, rakyat sudah bosan dengan gelagat para pemimpin politik yang saban hari memikirkan strategi mendapatkan kuasa dengan pelbagai cara termasuklah menarik sokongan kepada Perdana Menteri dan seumpamanya.

“Perlu diingatkan agar setiap tindakan yang dilakukan mestilah selaras dengan undang-undang yang ada.

“Seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa Perdana Menteri telah secara terbuka menyatakan akan melakukan undi percaya di Parlimen pada bulan September nanti.

“Jadi kenapa perlu untuk mendesak sedangkan komitmen telah dinyatakan dengan jelas?

“Hormatilah ruang yang diberikan di mana Perdana Menteri yang begitu terbuka menyatakan untuk mendapatkan keabsahan sokongan terhadapnya ditentukan di parlimen,” tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata lagi bahawa para pemimpin parti-parti politik ini seharusnya memikirkan tentang kemaslahatan rakyat yang sekarang ini perlu diberikan perhatian.

Terutamanya apabila berlaku kes-kes kematian yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang tidak mengenal usia termasuklah terhadap golongan muda.

“Tambahan pula beberapa pakej untuk memulihkan keadaan ekonomi telah diperkenalkan yang memerlukan komitmen semua untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ini penting untuk menjamin kesejahteraan negara dan juga rakyat secara keseluruhannya,” kata beliau.

Tambahan beliau, adalah lebih afdal untuk para pemimpin parti-parti politik menggalakkan seluruh rakyat Malaysia mengambil vaksin ketika ini sebagai salah satu strategi untuk keluar daripada wabak yang sedang dihadapi di dunia ketika ini.

Justeru, beliau menggesa agar semua pihak menghentikan sebarang pergeseran merebut kuasa dan mengesyorkan agar parti-parti politik dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti pembangkang kembali ke meja rundingan bagi bersama-sama membantu membangun negara.

“Bukannya terus bersengketa merebut kuasa kerana perbalahan itu boleh meruntuhkan negara,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -