MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima kunjungan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediamannya di Kampung Rusila, hari ini.
Pertemuan tertutup itu berlangsung selama satu jam lebih bermula pukul 5.00 hingga 6.10 petang bersama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sebelum itu, Muhyiddin tiba di Kuala Terengganu bagi melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.
Katanya, pertemuan beliau dengan Tuan Guru Abdul Hadi hanyalah untuk menziarahi Presiden PAS itu.
Menurutnya, kunjungan itu hanya pertemuan biasa kerana kedua-dua mereka sudah lama tidak berjumpa.
“Saya nak ziarah sahaja kerana beliau (Ustaz Hadi) tidak berapa sihat tetapi Menteri Besar (Dr. Samsuri) kata Tuan Guru sudah bertambah baik (tersenyum).
“Kali terakhir kita berjumpa semasa di hospital dan mudah-mudahan beliau kembali sihat bagi bekerja untuk parti dan negara, insya-Allah,” ujarnya pada sidang akhbar. – HARAKAHDAILY 12/8/2021