Pemimpin perlu akur nasihat Sultan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab para pemimpin politik secara jelas adalah bagi memastikan kestabilan negara kekal utuh dan mampan serta kehidupan rakyat lebih terjamin dan sejahtera, kata Ketua Dewan Muslimat PAS, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

- Advertisement -

Justeru itu, sebagai rakyat Malaysia khususnya, para pemimpin politik seharusnya akur dengan titah serta saranan Ketua Agama Islam yang merupakan tonggak kedaulatan di negara ini, katanya.

Tambah beliau, peranan setiap wakil rakyat perlu dimainkan sebaik-baiknya terutamanya dalam situasi ketika ini apabila negara sedang menghadapi pelbagai krisis.

“Terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 yang semakin menjadi-jadi dan angka kematian pun bertambah daripada hari ke hari, jadi sepatutnyalah pihak pemimpin politik perlu berganding bahu bersama-sama mengatasi pandemik berkenaan.

“Mereka jangan hanya memikirkan pasal kekuasaan sahaja, mereka sepatutnya melihat dan memberi kerjasama kepada kepimpinan negara yang ada hari ini,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua wakil rakyat untuk bergerak seiring bersama kepimpinan kerajaan untuk menewaskan musuh utama negara iaitu wabak Covid-19.

“Mari kita bekerjasama menangani masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat kita, dan selepas itu insha-Allah mudah-mudahan lepas dah habis pandemik yang melanda negara kita ini, kita akan dapat bersama mengadakan pilihanraya dengan sebaiknya,” ujar Ustazah Nuridah lagi.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar Shah menzahirkan kekecewaan baginda dengan sikap segelintir pemimpin yang menggangggu kerajaan dan berebut kuasa ketika negara berdepan ancaman Covid-19.

Baginda bertitah tidak akan teragak-agak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan Baginda sekarang.

Baginda Tuanku Sultan, turut bertitah menasihatkan semua Ahli Dewan supaya menggunakan sesi persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula ekonomi Johor.

Di samping itu, Baginda mengingatkan bahawa Dewan Negeri adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat serta negeri Johor.

Dalam pada itu, Baginda turut mengingatkan untuk bersatu dan bekerjasama antara satu sama lain dan tidak menuding jari sesama sendiri dalam menangani permasalahan.

Dalam perkembangan yang sama, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah turut menyeru rakyat bersatu dan bekerjasama mencari penyelesaian terbaik dalam menangani pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 12/8/2021

- Advertisement -