Oleh YUSMAN AWANG
KUALA LUMPUR: Sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ditunda sehingga 22 Ogos ini bagi mengelakkan insiden penularan Covid-19 sepertimana yang telah berlaku di Parlimen sebelum ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, berkata penangguhan DUN Johor terpaksa dibuat bagi memastikan pematuhan SOP terhadap penularan Covid-19 dipertingkatkan pada sidang DUN Johor itu nanti.
“Kerajaan negeri tidak mahu perkara yang berlaku di Parlimen, terjadi pada sidang DUN pula. Baru separuh jalan sudah ditangguhkan kerana terdapat kes jangkitan COVID-19 di sana,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat telah mengarahkan sesi persidangan DUN negeri itu direhatkan selama seminggu dan bersambung pada 22 Ogos nanti.
“Saya dengan ini memutuskan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 yang sepatutnya bersambung pada Ahad ini iaitu 15 Ogos, ditunda kepada 22 Ogos.
“Ia bagi membolehkan penilaian risiko kesihatan selain nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) diambil kira dengan pelaksanaan SOP lebih ketat,” katanya ketika menangguhkan persidangan hari ini. – HARAKAHDAILY 11/8/2021